JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Temukan Kokain Lebih 16 Kg Di Pantai Tanjung Gosong, Pekan

01/04/2026 01:53 PM

KUANTAN, 1 April (Bernama) -- Polis menemukan sebuah beg yang berisi dadah jenis kokain seberat lebih 16 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM7.31 juta terdampar di persisiran Pantai Tanjung Gosong, Pekan, semalam. 

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata penemuan itu susulan maklumat awam sebelum sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Pahang menjalankan pemeriksaan di lokasi berkenaan kira-kira 2.45 petang.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati beg tersebut mengandungi 14 bungkusan ketulan mampat berwarna hitam bertulis ‘Stone’ yang disyaki kokain dengan anggaran berat 16.263kg, selain enam lagi bungkusan yang telah terlarut kandungannya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini hari ini. 

Siasatan awal mendapati beg berkenaan telah berada di dalam laut untuk suatu tempoh, sebelum ditemukan terdampar di pesisir pantai, berdasarkan keadaan beberapa bungkusan yang didapati telah terlarut.

Beliau berkata pihaknya telah memanggil seorang saksi bagi membantu siasatan, dan sedang mengumpul maklumat lanjut berhubung kes berkenaan.

Yahaya berkata harga pasaran semasa bagi dadah berkenaan dianggarkan RM450,000 bagi setiap kilogram, selain boleh menjejaskan lebih 80,000 penagih sekiranya diedarkan ke pasaran. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan