KUCHING, 3 April (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah vesel nelayan kelas C bersama enam kru selepas gagal mengemukakan sijil penguntukan radas pada pukul 1.26 tengah hari tadi.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis Komander Maritim Mahkos Juing berkata vesel itu ditahan pasukan bot APMM ketika menjalankan rondaan rutin Ops Permai dan Op Tiris 3.0 pada kedudukan kira-kira 12.4 batu nautika timur Tanjung Jerijeh.
“Vesel yang dinaiki enam kru warganegara Malaysia itu disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu gagal mengemukakan sijil penguntukan radas semasa diperiksa.
“Penguntukan radas ialah kebenaran rasmi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk menggunakan frekuensi spektrum radio tertentu. Ia dikawal selia, melibatkan fi dan penting untuk penggunaan peranti radio secara sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mahkos berkata vesel bersama kru kemudiannya diiringi ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Tanjung Manis sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial