AM

Krisis Tenaga Global: Kerajaan Ambil Langkah Berjaga-jaga Dalam Pelarasan Dasar Negara - PM

03/04/2026 10:52 PM

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Kerajaan telah mengambil langkah berjaga-jaga dalam pelarasan pelaksanaan dasar negara khususnya bagi menangani kesan krisis tenaga global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkara itu ditekankan pada Mesyuarat Pembangunan Daerah Kuantan ketika lawatan kerja sehari beliau ke daerah berkenaan hari ini.

Anwar berkata selain itu, pertahanan dan keselamatan negara telah dipertingkat demi memastikan kesejahteraan kerajaan dan rakyat.

 “Berhubung peningkatan kos sara hidup rakyat, kerajaan giat mengambil pendekatan yang segera dan tuntas dalam memastikan rakyat dilindungi serta dipelihara dalam jangka pendek dan juga jangka panjang daripada tekanan ekonomi saat ini.

“Perkembangan ini terus dipantau dan ditangani oleh kerajaan dari peringkat awal bagi memastikan dampak secara langsung kepada ekonomi negara dapat diminimumkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama erat Kerajaan Negeri Pahang khususnya Daerah Kuantan perlu memberi fokus khusus dan utama bagi memastikan projek-projek kecil dalam Rolling Plan yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 segera dilaksana agar manfaat projek dapat dinikmati rakyat.

Menyentuh mengenai hal ehwal tanah dalam pelaksanaan projek, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan memberikan penyelesaian yang sebaiknya kepada Kerajaan Negeri bagi terus memudahkan pelaksanaan projek yang telah pun diluluskan peruntukan agar tidak tertangguh untuk tempoh yang lama.

Terdahulu, Anwar berkata beliau telah diberi taklimat mengenai status dan kemajuan pelaksanaan projek Persekutuan dan juga inisiatif Kerajaan Negeri merangkumi isu kenaikan harga bahan pembinaan bagi institusi pendidikan seperti sekolah, penyelenggaraan saliran bagi kawasan tebatan banjir dan lokasi yang tidak pernah mengalami banjir.

“Status kesejahteraan rakyat termasuk miskin tegar, indeks jenayah, Kampung Angkat MADANI, Sekolah Angkat MADANI, status pembangunan gerai di Daerah Kuantan dan cadangan projek Cakna MADANI juga telah dibentangkan.

“Selain itu, saya menekankan keutamaan peruntukan pembaikan atau meluaskan gerai peniaga-peniaga yang memerlukan di Daerah Kuantan ini bagi meningkatkan tahap ekonomi majoriti rakyat dan tidak hanya menumpukan kepada projek-projek yang besar atau projek mega semata,” kata beliau.

Perdana Menteri turut meminta Majlis Daerah Kuantan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan agar memantau keperluan pengusaha serta peniaga di gerai-gerai supaya mereka dapat melaksanakan perniagaan dengan lebih selesa dalam usaha meningkatkan pendapatan.

“Seperti yang telah saya putuskan di Mesyuarat Jemaah Menteri, Kementerian Pendidikan perlu menyegerakan penyediaan tambahan kelas-kelas yang diperlukan untuk murid-murid berumur 6 dan 7 tahun bagi Tahun 1 yang akan memulakan sesi persekolahan pada tahun 2027 termasuk keperluan di Daerah Kuantan.

“Saya juga menyeru kepada semua rakyat Pahang dan rakyat di negara ini untuk sama-sama berdoa agar negara kita berada dalam keadaan yang terkawal, dapat bertahan dan mengharungi cabaran ekonomi yang terus menghimpit kita,” kata beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan