AM

Veteran Media Kenang Kemesraan, Kepimpinan Dan Legasi Dr Ling

04/04/2026 05:38 PM

Oleh N. Kuvineshwaren and Ahmad Erwan Othman

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Di sebalik peranannya sebagai menteri yang lama berkhidmat, mendiang Tun Dr Ling Liong Sik dikenali sebagai seorang pemimpin yang mesra dan terbuka, sering mengalu-alukan kehadiran pengamal media ke rumahnya, kata Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.

Wong, tokoh media terkenal dan Tokoh Wartawan Negara yang pernah membuat liputan mengenai Dr Ling selama beberapa dekad sebagai wartawan, menyifatkan Presiden MCA keenam itu seorang ahli politik yang lemah lembut tetapi tegas serta mengekalkan hubungan rapat dengan pengamal media. 

“Walaupun menyandang pelbagai jawatan kanan dalam politik, beliau sentiasa membuka pintu rumahnya untuk wartawan yang membuat liputan. Saya bertuah kerana berpeluang mengenali beliau secara peribadi dan lebih dekat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Dr Ling meninggal dunia hari ini pada usia 82 tahun, meninggalkan isteri, Toh Puan Ong Ee Nah serta dua anak lelaki, Ling Hee Leong dan Ling Hee Keat.

Mendiang merupakan presiden paling lama berkhidmat dalam sejarah MCA, memimpin parti tersebut selama 17 tahun.

Wong, yang pernah memegang pelbagai jawatan di The Star selepas memulakan kerjaya sebagai wartawan muda di Pulau Pinang pada 1984, mengenang Dr Ling sebagai seorang pemimpin yang mesra dan merendah diri, yang bukan sahaja berwibawa dalam pentadbiran malah sering menampilkan sisi yang disenangi termasuk minat terhadap nyanyian, dengan lagu kegemarannya dari era 1950-an, “Whatever Will Be, Will Be (Que Sera, Sera)”.

Beliau berkata Dr Ling juga dikenali sebagai seorang pemimpin yang tidak kenal penat dalam menjalankan tugas, kerap menjelajah seluruh negara untuk bertemu dengan ahli akar umbi serta memperjuangkan penubuhan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

“Beliau memainkan peranan penting dalam transformasi Malaysia, daripada menyelia pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hinggalah mengangkat Pelabuhan Klang di Selangor sebagai pemain bertaraf global, namun beliau tidak pernah kehilangan sentuhan peribadinya,” kata Wong.

Sementara itu, Presiden Persatuan Editor Media Cina Malaysia Datuk Kuik Cheng Kang turut menyifatkan mendiang Dr Ling sebagai seorang pemimpin yang tenang dan lemah lembut, dengan pendekatan teratur dan penuh pertimbangan, sekali gus mencerminkan keperibadian serta gaya kepimpinan beliau.

“Beliau tidak pernah bercakap dalam keadaan tergesa-gesa, sentiasa tenang dan teratur, menyampaikan kata-katanya satu demi satu, membuatkan sesiapa yang mendengar akan memberi tumpuan penuh,” katanya mengimbau pengalamannya membuat liputan mengenai Dr. Ling.

Kuik, yang juga Ahli Lembaga Majlis Media Malaysia, berkata Dr Ling memainkan peranan penting dalam memperkukuh Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) dan dianggap sebagai “bapa” institusi tersebut.

“Beliau tidak pernah membenarkan politik memasuki kampus, dan hasilnya TAR UMT sentiasa kekal  pada misinya dalam menyediakan pendidikan berkualiti kepada belia Cina,” katanya.

Kuik berkata pengorbanan Dr Ling terhadap masyarakat Cina terbukti melalui disiplin harian beliau dan penglibatan aktif bersama pemimpin lain, termasuk bekas Presiden Gerakan mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik dan Presiden MIC mendiang Tun S. Samy Vellu dalam menangani isu-isu penting.

Sementara itu, MCA dalam kenyataan hari ini memaklumkan Dr Ling akan terus dikenang kerana jasa dan sumbangan besar mendiang kepada parti, negara dan tanah air.

“Semangat yang tidak pernah luntur, pertimbangan yang tenang serta strategi berpandangan jauh beliau akan terus menjadi contoh kepada semua pemimpin dan ahli parti, selain sentiasa menjadi panduan kepada kemajuan parti,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan Presiden MCA Wee Ka Siong telah mengarahkan ibu pejabat MCA mengibarkan bendera separuh tiang sebagai tanda berkabung.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan