AM

Bomba Optimis Mampu Tubuh 500 PBS Menjelang 2030

05/04/2026 10:55 AM

BATU KAWAN, 5 April (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) optimis mampu mencapai sasaran penubuhan 500 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di seluruh negara menjelang 2030, selaras dengan dasar kebombaan dan pelan strategik jabatan itu.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata sasaran itu dilihat realistik berdasarkan momentum semasa, selain komitmen berterusan daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan komuniti setempat.

“Ketika ini terdapat 365 pasukan PBS di seluruh negara dengan kira-kira 8,900 ahli PBS yang aktif dan jumlah itu dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa.

“Bagi mencapai sasaran 500 pasukan menjelang 2030, kami bukan sahaja perlu menubuhkan pasukan baharu tetapi memastikan setiap pasukan kekal aktif dan berfungsi dengan baik. Pengukuhan semangat kesukarelawanan juga penting dan perlu diperkasa melalui pelbagai kaedah, termasuk program dan inisiatif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen PBS dan Kempen Keselamatan dan Kesedaran Awam JBPM Pulau Pinang oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow di pekarangan Stadium Batu Kawan di sini malam tadi, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancang Bandar dan Desa H'ng Mooi Lye.

Pada majlis itu, Chow turut mengumumkan kerajaan negeri memberikan sumbangan RM10,000 kepada setiap 36 PBS di seluruh negeri itu sebagai tanda menghargai komitmen mereka.

Nor Hisham berkata di peringkat Persekutuan, pihaknya juga komited menyalurkan geran khas RM5,000 kepada setiap pasukan pada tahun ini, seperti yang dilaksanakan sebelum ini.

Beliau berkata walaupun jumlah itu bukan penyelesaian sepenuhnya, namun ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban PBS dalam menjalankan operasi dan pengurusan harian.

“Usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberikan sumbangan itu adalah satu contoh yang wajar dicontohi oleh negeri-negeri lain dalam menyokong peranan PBS kerana ia amat membantu dalam meringankan beban pengurusan termasuk kos bahan api dan penyelenggaraan kenderaan,” katanya. 

Terdahulu, Chow dalam ucapannya berkata JBPM dan PBS adalah satu entiti yang tidak boleh dipisahkan dalam memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjaga.

Beliau berkata walaupun struktur organisasi mungkin berbeza, misi dan nilai yang dibawa adalah serupa, iaitu melindungi nyawa serta harta benda.

“Apabila kepakaran profesional JBPM digabungkan dengan kekuatan akar umbi PBS, ia membina benteng keselamatan yang lebih kukuh dan pantas,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan