SUKAN

Penang FC Enggan Terus Kecewa, Tekad Bangkit Beri Saingan Di Likas

05/04/2026 10:35 AM

GEORGE TOWN, 5 April (Bernama) -- Penang FC enggan meratapi kekecewaan selepas kelebihan satu gol yang dimiliki lebur pada saat akhir apabila terikat 1-1 dengan Sabah FC pada aksi final pertama Piala Cabaran 2025/2026 di Stadium Bandaraya malam tadi.

Ketua Jurulatih Wan Rohaimi Wan Ismail bagaimanapun berkata peluang pasukan itu untuk menjulang kejuaraan masih terbuka luas menjelang pertemuan kedua di Likas pada 19 April depan, sekali gus menoktahkan penantian 24 tahun tanpa trofi.

Wan Rohaimi berkata meskipun sedikit terkilan gagal mempertahankan kelebihan satu gol, beliau tetap berpuas hati dengan komitmen serta tenaga yang dipamerkan anak buahnya sepanjang perlawanan itu.

“Dari segi tenaga dan kesungguhan, saya boleh katakan saya berpuas hati tetapi kami masih berdepan masalah sama, iaitu penyudah yang menjejaskan peluang untuk membawa bekalan lebih selesa.

“Apapun semuanya sudah berlaku. Tidak mengapa kerana kami ada 90 minit lagi, kami bersedia dan tengok macam mana nanti di Likas,” katanya pada sidang media selepas perlawanan tamat.

Pengendali berusia 49 tahun itu berkata organisasi benteng pertahanan pasukan juga berada pada tahap baik apabila berjaya mengawal kebanyakan situasi, namun kesilapan pada penghujung permainan menyebabkan mereka dihukum dengan sepakan penalti.

Beliau bagaimanapun mengakui terdapat kelemahan pada bahagian kanan pasukan yang menjejaskan usaha mencorak serangan sehingga memaksanya melakukan pertukaran awal yang memberi impak positif apabila Penang FC menguasai permainan pada separuh masa kedua.

“Sepatutnya selepas mendahului, kami perlu tambah satu lagi gol untuk ‘membunuh’ permainan tetapi kami gagal manfaatkan peluang yang ada,” katanya.

Mengulas aksi timbal balik, Wan Rohaimi mengingatkan pemain bersedia menghadapi tekanan penyokong tuan rumah di Likas yang dijangka memenuhi stadium.

Beliau berkata semangat juang anak buahnya masih tinggi meskipun kekecewaan jelas kelihatan, selain optimis akan bangkit pada perlawanan kedua dengan kembalinya tiga tonggak utama, iaitu Muhamad Adib Raop, Nur Shamie Iszuan Amin dan Jose Elmer Porteria bagi melengkapkan semula pasukan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Sabah FC Juan Torres Garindo berpuas hati dengan semangat juang dan corak permainan dipamerkan anak buahnya walaupun hanya mampu membawa pulang satu mata.

“Kami berpuas hati dengan usaha sebelum ini. Pada saat-saat akhir, sesuatu berubah dan saya fikir secara keseluruhannya separuh masa pertama adalah lebih kurang seperti yang kami rancangkan, iaitu untuk mengawal permainan.

“Saya rasa permulaan pada separuh masa kedua tidak baik untuk kami… tetapi bolos gol seolah-olah membebaskan pasukan dan kami mula menyerang. Jadi, saya berpuas hati dengan sikap pemain, mereka percaya sehingga tamat dan kami mendapat gol penyamaan,” katanya.

Beliau dalam pada itu mengakui terdapat kesilapan taktikal dalam situasi gol pertama Penang FC, namun menegaskan pasukan itu cepat menyesuaikan diri dan terus menyerang sehingga berjaya menyamakan kedudukan.

Pada perlawanan malam tadi, skuad Harimau Kumbang hampir membawa bekalan tipis ke Likas selepas mendahului menerusi Dylan Wenzel-Halls pada minit ke-71 namun gagal mempertahankan kelebihan itu apabila skuad Sang Badak dihadiahkan sepakan penalti pada waktu kecederaan susulan kekasaran penjaga gol Mohamad Ramdhan Ab. Hamid ke atas pemain pertahanan lawan Gabriel Peres.

Gabriel kemudian mudah menyempurnakan sepakan penalti itu, sekali gus meletakkan peluang kedua-dua pasukan seimbang untuk merebut kejuaraan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan