IPOH, 5 April (Bernama) -- Projek di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak akan ditangguh susulan krisis tenaga global, malah akan terus dipergiat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata setakat ini tiada projek kementerian berkenaan yang perlu ditunda kerana semua projek dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat dan tidak termasuk dalam projek berskala besar.
“Kebanyakan projek KPKT berpaksikan kesejahteraan rakyat. Setakat ini saya rasa tak ada apa yang nak ditunda kerana kami memberi tumpuan kepada projek berteraskan rakyat, bukan projek mega yang berbilion-bilion dan ia sedang giat dilaksanakan, macam projek perumahan PRR (Projek Residensi Rakyat) akan kita teruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan projek naik taraf Medan Selera Greentown Utama di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KPKT Datuk Dr M Noor Azman Taib dan Datuk Bandar Ipoh Zamakhshari Hanipah.
Sementara itu, Nga berkata majlis pecah tanah projek PRR Tambun bernilai RM150 juta dilaksanakan pada Jun ini dan disasarkan menjadi penanda aras baharu bagi perumahan mampu milik berkualiti, lengkap dengan kemudahan seperti taman pusat dan tasik rekreasi.
"Saya akan minta Datuk Bandar (Ipoh) untuk bantu luluskan pelan bangunan secepat mungkin. Kita mahu projek ini menjadi antara PRR terbaik, lengkap dengan kemudahan moden seperti taman rekreasi dan tasik, sekali gus menjadi penanda aras kepada perumahan mampu milik yang berkualiti seperti kita tekankan," katanya.
Tahun lepas, Nga berkata PRR pertama di Perak akan dibangunkan di Tambun dengan kos RM150 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial