KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Ketua Pegawai Komersial sebuah syarikat e-dompet mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan capaian tanpa kebenaran kepada akaun e-dompet aplikasi Merchantrade dalam telefon bimbit milik individu lain, tahun lepas.
Sarveswaran Raja Gopal, 48, didakwa menyebabkan suatu komputer melaksanakan fungsi dengan niat untuk mendapat capaian kepada akaun e-dompet aplikasi Merchantrade, yang disimpan dalam telefon bimbit milik seorang lelaki tanpa kuasa dan tertuduh mengetahui capaian tersebut adalah tanpa kebenaran.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Changkat Hartamas, Sentul, dekat sini, pada 11 Jan 2025 mengikut Seksyen 3(1) Akta Jenayah Komputer 1997, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3(3) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan, dan melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai.
Hakim Izralizam Sanusi membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu saksi pendakwaan hingga kes selesai, dan menetapkan 11 Mei ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial