KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) Fasa 1 yang bermula pada 1 Jan lepas memudahkan urusan penyeteman dokumen sama ada oleh individu atau melalui ejen yang dilantik.
Pengarah Bahagian Konsultasi Operasi dan Audit, Jabatan Operasi Setem dan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Nor Habibah Hamidon berkata individu boleh membuat permohonan sendiri dengan memiliki Nombor Pengenalan Cukai (TIN) serta log masuk melalui Portal MyTax.
Beliau berkata ejen seperti peguam, setiausaha syarikat dan akauntan turut dibenarkan mengemukakan permohonan bagi pihak pelanggan, tertakluk kepada peranan yang didaftarkan dalam sistem e-Duti Setem.
“Hal ini penting bagi memastikan setiap permohonan dapat dikenal pasti dan dipertanggungjawabkan,” katanya ketika menjadi tetamu segmen Klinik Cukai di Bernama Radio hari ini.
Nor Habibah berkata penggunaan ID MyTax bersifat peribadi dan tidak boleh dikongsi bagi melindungi maklumat pembayar serta mengelakkan penyalahgunaan sistem.
Beliau berkata walaupun konsep “taksir sendiri” digunakan, pembayar tidak perlu membuat pengiraan secara manual kerana sistem akan mengira jumlah duti berdasarkan maklumat yang dimasukkan.
“Pembayar hanya perlu memastikan maklumat berkaitan surat cara adalah tepat dan lengkap,” katanya.
Nor Habibah berkata semua permohonan penyeteman perlu dibuat melalui ID MyTax individu dengan memilih peranan yang telah didaftarkan dalam sistem.
Beliau berkata penggunaan satu ID bagi semua urusan percukaian memudahkan pengurusan dan meningkatkan kecekapan proses.
Selain itu, katanya, sistem e-Duti Setem turut menyediakan kemudahan penyeteman berkelompok khusus untuk organisasi dan ejen yang mengurus dokumen dalam jumlah besar.
Melalui kemudahan itu, pengguna boleh memproses lebih daripada dua surat cara serentak tanpa perlu mengemukakan permohonan berasingan.
Bagaimanapun, katanya, penyeteman berkelompok hanya dibenarkan melalui fail berformat XML yang dijana daripada sistem pengguna.
Beliau berkata spesifikasi XML yang ditetapkan perlu dipatuhi bagi memastikan kelancaran proses serta ketepatan data.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata LHDN turut melaksanakan Program Khas Pematuhan Sukarela (PKPS) bagi membolehkan pembayar menyelesaikan tunggakan duti setem bagi dokumen bertarikh 1 Jan 2023 hingga 31 Dis 2025.
“Melalui PKPS, pembayar berpeluang menikmati pengecualian penalti, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan. Program ini bertujuan memberikan ruang kepada pembayar untuk memperbetul keadaan tanpa tekanan tindakan penguatkuasaan,” katanya sambil menambah tarikh akhir PKPS adalah pada 30 Jun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial