KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah mengemukakan pelan tindakan 10 perkara yang bertujuan memperkukuh sokongan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi kerjasama lebih erat antara kerajaan dengan institusi perbankan dalam menghadapi ketidaktentuan global serta peningkatan kos tenaga.
Dalam kenyataannya hari ini, KUSKOP memaklumkan pelan tindakan itu telah dibentangkan oleh Menteri Steven Sim Chee Keong pada sesi libat urus bersama 16 wakil pengurusan tertinggi Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) yang diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Khairussaleh Ramli, baru-baru ini.
“Sesi libat urus itu menumpukan usaha memperkukuh penyelarasan antara sektor perbankan dan kerajaan bagi menyokong PKS dalam menghadapi ketidaktentuan global yang berterusan serta tekanan kos berkaitan tenaga yang semakin meningkat,” menurut kementerian itu.
Selain itu, KUSKOP memaklumkan pelan tindakan itu merangkumi keutamaan terhadap sokongan asas perniagaan dengan memastikan akses berterusan kepada pembiayaan modal kerja memandangkan sebanyak 43 peratus pinjaman PKS adalah bagi keperluan operasi untuk membolehkan perniagaan bertahan dalam menghadapi tekanan kos tenaga.
Perkara lain dari segi penggunaan kriteria penilaian yang lebih inklusif dan praktikal bagi PKS dalam meningkatkan akses kepada pembiayaan; mempercepat tempoh pemprosesan dan kelulusan pinjaman bagi memastikan sokongan dapat disalurkan dengan lebih pantas kepada perniagaan dan meningkatkan fleksibiliti dalam tempoh ketidaktentuan melalui penstrukturan serta penjadualan semula pembayaran balik pembiayaan dan jika perlu, moratorium pembayaran semula secara ”case-to-case basis” atau berasaskan kes terbabit.
Bagi memperkukuh kerjasama antara bank perdagangan, KUSKOP dan Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) melalui pembiayaan bersepadu untuk mengoptimumkan sumber dan memaksimumkan impak serta menggunakan kaedah dasar “no wrong door” untuk merujuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada produk dan perkhidmatan di institusi kewangan lain, termasuk DFI jika tiada produk sesuai di institusi kewangan asal.
Aspek lain adalah mempergiat kerjasama dalam program pembangunan kapasiti bagi memperkukuh keupayaan serta daya tahan PKS; meningkatkan mempromosi dan melaksanakan produk kewangan berfokuskan PKS sepanjang tahun ini; kolaborasi bersama SME Corp bagi menambah nilai serta pengiktirafan status akreditasi PKS serta bekerjasama dengan KUSKOP di bawah inisiatif PowerUp10k untuk merancakkan lagi strategi penskalaan perniagaan rakyat.
Sementara itu mengulas usaha terbabit, Sim turut merakamkan penghargaan kepada institusi perbankan atas sokongan terhadap cadangan yang dikemukakan serta menegaskan kepentingan pendekatan keseluruhan ekosistem dalam membantu PMKS.
"Kerjasama berterusan antara kerajaan dan institusi kewangan adalah penting bagi memastikan perniagaan Malaysia kekal berdaya tahan, berdaya saing dan bersedia untuk pertumbuhan meskipun berdepan cabaran global," kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial