JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan 12 Lelaki Kes Ceroboh, Khianat Pusat Hiburan Di Cheras

07/04/2026 08:26 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Polis menahan 12 lelaki bagi membantu siasatan kes khianat dan rusuhan di sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin, Cheras, Ahad lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata dalam tangkapan itu, pihaknya turut merampas beberapa kenderaan dipercayai digunakan dalam insiden berkenaan, termasuk sebuah lori yang digunakan suspek untuk merempuh pintu pagar premis terlibat.

“Setakat ini, seramai 12 suspek lelaki telah ditangkap dan permohonan reman telah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis kini giat menjalankan siasatan bagi melengkapkan kertas siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat serta Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Satu sidang media khas berhubung perkembangan terbaru kes itu dijadualkan berlangsung pada 11 pagi esok di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Terdahulu, media melaporkan sekumpulan individu bertopeng menceroboh masuk ke premis berkenaan kira-kira jam 1.30 tengah hari pada 5 April lepas sebelum merosakkan pelbagai barangan di dalam pusat hiburan itu.

Kejadian itu turut dirakam menerusi video berdurasi 71 saat yang tular, memaparkan sebuah lori mengundur sebelum merempuh pagar premis diikuti sekumpulan lelaki bertopeng yang memegang objek tidak dikenal pasti memasuki premis melalui pintu pagar yang dirosakkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan