SERDANG, 7 April (Bernama) -- Universiti Putra Malaysia (UPM) mengiktiraf peranan pengamal media sebagai rakan strategik utama dalam memperluaskan hebahan kepakaran dan pencapaian universiti, sekali gus memperkukuh reputasi institusi itu di peringkat nasional serta antarabangsa.
Naib Canselor UPM Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata sokongan berterusan pihak media menjadi antara faktor utama dalam meningkatkan visibiliti universiti serta merapatkan jurang antara dunia akademik dan masyarakat melalui penyampaian maklumat berasaskan ilmu dan penyelidikan.
“Dalam mendepani cabaran semasa, pakar UPM memainkan peranan penting sebagai agen penyampai ilmu kepada masyarakat.
“Kepakaran yang dimiliki bukan sekadar untuk penghasilan penerbitan akademik, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat nyata kepada negara dan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Promosi UPM Bersama Media 2026, di sini, malam ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Ahmad Farhan berkata kerjasama erat antara universiti dan media amat penting dalam memastikan maklumat yang tepat dan berautoriti dapat disampaikan kepada masyarakat, khususnya dalam era media sosial yang menyaksikan pelbagai reaksi serta maklumat disebarkan dengan pantas.
Beliau berkata UPM kini komited memacu agenda global, termasuk menerusi Rangka Tindakan Kesihatan Planet dan Kelestarian serta Rangka Tindakan Keterjaminan Makanan sebagai usaha memperkukuh peranan universiti dalam memastikan kesejahteraan masyarakat dan kelangsungan negara.
Beliau berkata rangka tindakan berkaitan kesihatan planet itu akan dilancarkan dalam masa terdekat, merangkumi pelbagai aspek termasuk keterjaminan makanan, pembangunan bandar lestari, mobiliti, pengurusan sisa serta pemeliharaan ekosistem.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Farhan berkata UPM mencatat pencapaian membanggakan apabila 29 subjek universiti itu tersenarai dalam QS World University Rankings by Subject 2026, mencerminkan kekuatan akademik serta konsistensi institusi berkenaan di peringkat global.
“Lebih membanggakan, bidang Sains Veterinar terus menyerlah apabila kekal dalam kelompok terbaik dunia di kedudukan ke-38. Pencapaian ini mengukuhkan kedudukannya sebagai subjek nombor satu di Malaysia selama lima tahun berturut-turut dan terbaik di Asia selama tiga tahun berturut-turut,” katanya.
Beliau berkata bidang Pertanian dan Perhutanan turut mengekalkan kecemerlangan apabila berada pada kedudukan ke-64 dunia, sekali gus mengekalkan status sebagai terbaik di Malaysia selama 14 tahun berturut-turut serta berada dalam kelompok 10 terbaik di Asia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial