EKONOMI

IATA Jangka Pemulihan Berperingkat Penerbangan Di Teluk Susulan Kemajuan Terkini Asia Barat

08/04/2026 04:12 PM

Oleh Anas Abu Hassan

SINGAPURA, 8 April (Bernama) -- Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menjangkakan pemulihan berperingkat industri penerbangan dalam tempoh beberapa bulan, khususnya di rantau Teluk susulan perkembangan terkini konflik di Asia Barat.

Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata penilaian semasa menunjukkan tekanan daripada kenaikan harga bahan api mungkin mula berkurangan sekiranya Selat Hormuz dibuka semula dalam masa terdekat.

Beliau berkata meskipun harga minyak mentah menunjukkan trend penurunan, harga bahan api jet dijangka kekal tinggi sedikit berikutan keadaan semasa di kemudahan penapisan rantau tersebut.

“Sekiranya Selat Hormuz dibuka semula dan terus dibuka, ia masih memerlukan beberapa bulan untuk kembali ke tahap bekalan yang diperlukan, memandangkan gangguan terhadap kapasiti penapisan di Asia Barat yang merupakan komponen kritikal dalam bekalan produk ditapis global.

“Ia bukan sahaja melibatkan bahan api jet, tetapi juga produk lain, jadi proses pemulihan ini dijangka mengambil masa beberapa bulan,” katanya pada sidang media di luar acara Simposium Data Dunia IATA (WDS) di sini, Rabu.

Walsh berkata cabaran semasa industri penerbangan tidak seteruk seperti ketika pandemik COVID-19, apabila kapasiti merosot sehingga 95 peratus akibat penutupan sempadan.

“Situasi ini pernah dihadapi industri sebelum ini, dan syarikat penerbangan kini mengambil langkah yang wajar. Namun, tiada siapa yang dapat meramalkan apa yang akan berlaku dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.

“Bagaimanapun, unjuran pasaran menunjukkan harga bahan api dijangka menurun dan kembali ke paras yang hampir sama seperti tahun ini,” katanya.

  Mengulas keadaan hab penerbangan di Asia Barat, beliau berkata syarikat penerbangan di rantau itu menyumbang kira-kira 14.6 peratus daripada kapasiti antarabangsa global pada 2025. Namun, susulan konflik, sebahagian operasi telah dialihkan ke luar rantau tersebut, seperti yang dilaksanakan oleh beberapa syarikat penerbangan.

Beliau berkata sejak konflik itu tercetus, industri turut menyaksikan sebahagian syarikat penerbangan mengagihkan semula aset mereka dari Asia Barat ke laluan lain, sekali gus membuka peluang jangka pendek kepada syarikat penerbangan Eropah dan Asia untuk mengisi kekosongan kapasiti itu.

“Namun, mereka tidak mampu menggantikan sepenuhnya kapasiti yang disediakan oleh syarikat penerbangan Teluk, justeru isu ini dilihat bersifat sementara.

“Hab penerbangan di Teluk dijangka pulih dengan cepat kerana permintaan asas kekal kukuh. Malah, kebanyakan ketua pegawai eksekutif syarikat penerbangan yang saya temui melaporkan permintaan yang terus memberangsangkan,” kata Walsh.

Beliau turut berkata pengurangan kapasiti penerbangan di Asia Barat dilihat memberi kesan jangka pendek terhadap trafik udara global.

Menurutnya, pengurangan mendadak sekitar 14.5 peratus kapasiti penerbangan di rantau itu dijangka memberi kesan sementara kepada jumlah perjalanan udara global, dengan perubahan mendadak berkenaan berpotensi menyebabkan gangguan atau penurunan trafik.

“Namun, data Mac mungkin belum sepenuhnya mencerminkan kesan tersebut, dengan gambaran yang lebih jelas dijangka dikesan pada April dan Mei apabila lebih banyak data diperoleh,” kata beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan