GEORGE TOWN, 8 April (Bernama) -- Dalam usaha memperkukuh keharmonian antara manusia dengan hidupan liar di kawasan bandar, Langur Project Penang (LPP) hari ini membina jambatan kanopi hidupan liar ketiga yang dikenali sebagai "The Obscura" di Batu Ferringhi, dekat sini.
Pengasas dan Ketua LPP Dr Jo Leen Yap berkata pembinaan jambatan itu adalah sebahagian daripada inisiatif "Bridge to Coexist" dan menangani isu kematian hidupan liar akibat kemalangan jalan raya, khususnya melibatkan spesies primat seperti lotong kelabu dan kera ekor panjang yang semakin kerap memasuki kawasan bandar.
"Objektif utama jambatan kanopi adalah untuk mengurangkan kemalangan jalan raya melibatkan hidupan liar, selain menjadi platform pendidikan kepada orang ramai tentang kepentingan hidup bersama haiwan di habitat yang sama.
“Projek ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif sains masyarakat yang melibatkan sukarelawan dalam pengumpulan data tingkah laku haiwan dan interaksi dengan manusia,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan pemasangan jambatan kanopi di Batu Ferringhi, dekat sini hari ini.
Beliau berkata projek jambatan kanopi itu bertindak sebagai laluan selamat di atas jalan raya bagi spesies arboreal untuk bergerak antara habitat, terutama di kawasan hutan berhampiran yang telah terpisah akibat pembangunan.
Jo berkata jambatan "The Obscura", yang dinamakan bersempena dengan nama saintifik lotong kelabu Trachypithecus obscurus, melambangkan usaha mengangkat semula spesies yang sering terpinggir ini sebagai khazanah semula jadi Pulau Pinang.
Dengan panjang kira-kira 15 meter, katanya, jambatan itu dibina menggunakan hos bomba terpakai sebagai pendekatan kitar semula dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi, melibatkan kos kira-kira RM32,000.
''Di sebalik setiap jambatan yang dibina, terdapat sekurang-kurangnya setahun kajian tingkah laku dan pergerakan hidupan liar yang dijalankan oleh pasukan kami bersama-sama sukarelawan yang menunjukkan 12 hingga 13 kumpulan monyet dan lotong direkodkan di sepanjang laluan Batu Ferringhi hingga Teluk Bahang," katanya.
Beliau berkata sebelum ini, dua jambatan kanopi telah dibina, iaitu Ah Lai’s Crossing di Teluk Bahang pada 2019 dan Numi’s Crossing di Tanjung Bungah pada 2024, yang kedua-duanya menunjukkan impak positif dengan ribuan lintasan hidupan liar direkodkan melalui kamera pemantauan.
Jo berkata data LPP menunjukkan bahawa lebih 8,500 lintasan direkodkan di jambatan pertama, manakala lebih 800 lintasan dicatat di Numi’s Crossing setakat ini, melibatkan sekurang-kurangnya sembilan spesies termasuk tupai gergasi hitam, musang pandan dan ular.
Beliau berkata jambatan kanopi bukanlah penyelesaian menyeluruh, namun menjadi langkah penting dalam mengurangkan risiko serta meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan pemuliharaan hidupan liar.
Dalam menjayakan projek tersebut, LPP turut bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), Jabatan Kerja Raya serta Tenaga Nasional Berhad bagi memastikan setiap pemasangan mematuhi piawaian keselamatan dan peraturan yang ditetapkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial