KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Enam lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat kes samun bersenjata dengan menyamar sebagai anggota polis hingga menyebabkan kerugian dianggarkan RM4.4 juta dalam tiga kejadian berasingan di sekitar Kepong, di sini Ahad lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata dalam kejadian antara 5.30 pagi hingga 7.30 pagi itu, suspek memecah masuk tiga rumah mangsa terdiri daripada dua warganegara China dan seorang wanita Indonesia berumur antara 29 hingga 52 tahun.
Beliau berkata modus operandi suspek adalah menyamar sebagai pegawai polis dan melakukan samun dengan menyasarkan kediaman warganegara asing.
"Semasa kejadian, seorang daripada suspek bertindak mengacu objek menyerupai pistol terhadap mangsa sebelum melarikan pelbagai barangan berharga,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Fadil berkata antara barangan yang dilarikan tiga kenderaan mewah jenis Rolls-Royce, Bentley dan Toyota Alphard, sebuah peti besi, wang tunai RM24,200, mata wang asing berjumlah USD 1,200, serta pelbagai barang kemas dan dua jongkong emas.
Mengulas mengenai tangkapan, Fadil berkata bertindak atas maklumat risikan, pasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul dan Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur menahan tiga suspek pertama pada 8.45 malam Ahad, diikuti tiga lagi individu dalam tangkapan susulan.
Beliau berkata tangkapan kesemua suspek berusia antara 31 hingga 51 tahun di sekitar Kuala Lumpur itu, membawa kepada rampasan dua pucuk pistol, lapan telefon bimbit, dua pas keselamatan, wang tunai RM13,056 dan pelbagai mata wang asing, selain berjaya mendapatkan semula kesemua kenderaan yang disamun serta sebahagian barang kes.
“Hasil siasatan mendapati kumpulan yang menyamar sebagai polis itu menyasarkan mangsa berharta dan bergerak secara terancang melalui pembahagian peranan tertentu, termasuk koordinator bagi menggerakkan jenayah secara berkumpulan dengan sasaran yang spesifik.
“Siasatan juga mendapati terdapat dua suspek bertugas sebagai pengawal peribadi namun berlaku penyalahgunaan lesen, selain seorang lagi merupakan anggota polis yang ditahan kerja dan mempunyai rekod lampau berkait dadah,” katanya.
Kesemua suspek kini direman tujuh hari hingga Sabtu ini dengan seorang daripadanya didapati positif amphetamine dan kes disiasat di bawah Seksyen 395, 397 dan 170 Kanun Keseksaan sementara siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan kaitan mereka dengan kes lain.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menyalurkannya kepada Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial