DUNIA

Ringgit Ditutup Mengukuh Pada 3.97 Apabila AS-Iran Setuju Gencatan Senjata

08/04/2026 07:45 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Ringgit mengukuh pada 3.97 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ditutup pada Rabu, apabila wujud semula optimisme selepas AS dan Iran bersetuju dengan pelan gencatan senjata konflik Asia Barat selama dua minggu.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 3.9735/9785 berbanding dolar AS daripada 4.0275/0320 ketika ditutup semalam, sekali gus kembali berada di bawah paras psikologi 4.00, dengan kenaikan harian hari ini sebanyak 1.31 peratus.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Presiden AS Donald Trump telah mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu terhadap Iran susulan usaha damai oleh pemimpin Pakistan.

“Prestasi ringgit yang lebih kukuh itu turut disokong oleh prospek pembukaan semula Selat Hormuz, yang boleh membantu menstabilkan bekalan minyak global dan meredakan tekanan terhadap harga tenaga.

“Perkembangan ini juga boleh memberikan sedikit kelegaan kepada pasaran buat sementara waktu, dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi yang semakin meningkat ekoran kejutan daripada konflik di Asia Barat,” katanya kepada Bernama.

Bekiau berkata walaupun ketidaktentuan masih tinggi namun, kesediaan Iran untuk berbuat demikian merupakan isyarat positif bagi rundingan pada masa hadapan.

Pada akhir dagangan, ringgit lebih tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.6407/6465 daripada 4.6566/6618 ketika ditutup semalam dan mengukuh berbanding pound British kepada 5.3348/3415 daripada 5.3425/3484.

Ringgit juga lebih teguh berbanding yen Jepun kepada 2.5071/5104 daripada 2.5229/5258.

Pada masa sama, mata wang tempatan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang begara ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1155/1199 daripada 3.1381/1419 ketika ditutup semalam, dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 233.5/233.9 daripada 235.4/235.8.

Mata wang domestik juga hampir tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.68/6.70, dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.4056/4282 daripada 12.3809/4021.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan