KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Malaysia menegaskan komitmennya untuk memastikan keselamatan tenaga domestik kekal terjamin dan pada masa sama terus berperanan sebagai rakan strategik yang diyakini dalam menyokong kestabilan rantaian bekalan tenaga antarabangsa, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Menurutnya melalui perbincangan beliau dengan Menteri Perubahan Iklim dan Tenaga Australia Chris Bowen, Australia turut memberi jaminan bahawa langkah penyesuaian di bawah mekanisme keterjaminan gas domestik negara itu tidak akan menjejaskan kepentingan Malaysia.
Akmal Nasrullah menerusi hantaran di media sosial beliau hari ini berkata perbincangan secara dalam talian itu bertujuan membincangkan isu keselamatan tenaga serantau dan global berikutan ketidaktentuan pasaran tenaga akibat konflik di Asia Barat.
“Antara tumpuan utama perbincangan adalah keadaan semasa rantaian bekalan minyak, gas dan bahan api bertapis serta tekanan berterusan ke atas pasaran tenaga global susulan faktor geopolitik.
“Kami berdua juga bersetuju bahawa komunikasi awam yang jelas, konsisten dan berprinsipkan “no surprises” (tidak mengejutkan) amat penting supaya setiap kenyataan difahami dengan tepat dan tidak menimbulkan salah tafsir,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, pendekatan bukan sahaja terletak kepada tindak balas terhadap krisis, sebaliknya bagaimana untuk membuat persediaan, menguruskan risiko dan melindungi kepentingan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial