EKONOMI

Penerbangan Terus Pulau Pinang-Chongqing Perkukuh Kehadiran Pasaran China, Pacu Pertukaran Serantau - Wong

09/04/2026 01:36 PM

GEORGE TOWN, 9 April (Bernama) -- Penerbangan terus baharu antara Pulau Pinang dan Chongqing menzahirkan usaha strategik negeri itu untuk memperkukuh kehadirannya dalam pasaran China serta meningkatkan lagi kesalinghubungan udara dengan wilayah barat negara itu, sekali gus menyuntik momentum baharu kepada sektor pelancongan dan pertukaran ekonomi serantau.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai, berkata pelancaran rasmi penerbangan Chongqing-Pulau Pinang yang dikendalikan Chongqing Airlines hari ini menandakan pencapaian penting dalam peluasan laluan negeri itu ke kawasan pedalaman China, selain memperluas lagi jejak pelancongan Pulau Pinang ke wilayah barat negara berkenaan.

“Dengan rangkaian penerbangan yang semakin komprehensif, laluan ini dijangka menarik lebih ramai pelancong dari China ke Pulau Pinang, sekali gus merancakkan pertukaran pelancongan, budaya dan ekonomi antara kedua-dua wilayah.

“Sebelum ini, terdapat penerbangan sewa khas antara Chongqing dan Pulau Pinang yang dikendalikan syarikat penerbangan lain. Namun memasuki 2026, hubungan udara ini telah dinaik taraf daripada perkhidmatan sewa khas kepada penerbangan terus berjadual oleh Chongqing Airlines,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wong menegaskan bahawa dalam ketidaktentuan global ketika ini, khususnya di Asia Barat, Pulau Pinang perlu mempelbagaikan pasaran sumber pelancong dan memberi keutamaan kepada Asia Timur, di mana perjalanan rentas sempadan kekal lebih berdaya maju, sekali gus memaksimumkan potensi ekonomi sektor pelancongan.

Beliau turut berkata Chongqing, yang dibangunkan di kawasan berbukit dengan landskap bandar bertingkat dan dikenali sebagai “Bandar Magis 8D”, menawarkan kontras yang menarik berbanding pesona pesisir pantai Pulau Pinang, warisan kaya George Town serta tarikan alam semula jadi negeri itu, sekali gus memberi pengalaman pelancongan yang pelbagai kepada pengunjung kedua-dua bandar.

Selain itu, katanya, masa pelancaran laluan tersebut bertepatan dengan musim durian Pulau Pinang yang dijangka bermula lebih awal tahun ini berikutan cuaca lebih panas, sekali gus memudahkan pelancong dari barat China mengakses salah satu tarikan bermusim paling popular di Malaysia.

Dalam perkembangan sama, Wong berkata memorandum persefahaman antara Penang Global Tourism dan Chongqing Airlines akan membuka ruang kepada kerjasama lebih mendalam, termasuk promosi bersama serta inisiatif bagi meningkatkan aliran pelawat antara kedua-dua wilayah.

Terdahulu, penerbangan sulung terus Chongqing-Pulau Pinang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 12.30 tengah malam tadi. Penerbangan itu akan beroperasi empat kali seminggu iaitu pada Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.

Setakat ini, Pulau Pinang mengekalkan penerbangan terus berjadual dari lapan bandar di China, iaitu Guangzhou, Xiamen, Shanghai, Hong Kong, Shenzhen, Chengdu, Qingdao dan kini Chongqing.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan