KOTA BHARU, 9 April (Bernama) -- Seorang lagi suspek direman lima hari kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM12,000 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu yang didapati membawa daun ketum di dalam keretanya.
Perintah reman hingga Isnin ini terhadap lelaki berusia lingkungan 30-an itu dikeluarkan Majistret Rais Imran Hamid selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.
Menurut sumber, suspek ditahan pada kira-kira 5 petang semalam di rumahnya.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki bersubahat bersama empat anggota polis yang telah ditahan reman selama lima hari Selasa lalu.
“Suspek dipercayai telah menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan Azmin Yusoff ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.
Pada Selasa lepas, empat anggota polis direman lima hari hingga Sabtu ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM12,000 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu yang didapati membawa daun ketum di dalam keretanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial