DUNIA

Angin Kencang: 246 Penerbangan Dibatalkan, Lebih 3,000 Penumpang Terkandas Di Jeju

09/04/2026 10:23 PM

SEOUL, 9 April (Bernama-Yonhap) -- Angin kencang dan hujan lebat melanda Pulau Jeju di selatan Korea Selatan pada Khamis, menjejaskan operasi penerbangan dan menyebabkan ribuan penumpang terkandas, lapor Agensi Berita Yonhap, memetik pihak berkuasa.

Amaran angin kencang telah dikeluarkan di seluruh pulau itu apabila kelajuan angin maksimum mencecah 28.9 meter sesaat di Pulau Udo dan 27.2 meter sesaat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju, menurut kerajaan wilayah dan Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA).

Sehingga 7 malam, sebanyak 246 penerbangan telah dibatalkan, termasuk 12 laluan antarabangsa, manakala 83 penerbangan lagi mengalami kelewatan.

Berikutan amaran ombak tinggi, semua perkhidmatan feri penumpang antara Jeju dan pulau berhampiran telah digantung.

Kerosakan kemudahan serta kejadian penduduk terputus hubungan dengan kawasan lain turut dilaporkan di seluruh wilayah itu.

Sebagai tindak balas, kerajaan wilayah Jeju mengaktifkan sistem respons kecemasan Tahap 1 pada awal hari berkenaan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju turut mengeluarkan amaran tahap “waspada” bagi membantu penumpang terkandas dipindahkan ke tempat penginapan serta mengambil pelbagai langkah keselamatan lain.

Agensi cuaca itu memberi amaran hujan lebat antara 20 hingga 30 milimeter sejam dijangka berterusan sehingga awal Jumaat, selain menggesa orang ramai supaya berwaspada terhadap keselamatan kemudahan dan kemungkinan berlakunya kemalangan.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan