JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Kesan Lima Lelaki Bantu Siasatan Dua Kes Samun Bersenjata Di Nilai

10/04/2026 08:49 AM

SEREMBAN, 10 April (Bernama) -- Polis sedang mengesan lima lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian samun bersenjata dalam dua kejadian berasingan di Bandar Baru Nilai dan kawasan Rumah Rakyat Nilai di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintenden Johari Yahya berkata kejadian pertama dilaporkan pada 1.24 pagi melibatkan sebuah premis serbaneka 24 jam di Jalan BBN 1/2F, Bandar Baru Nilai.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar 1.10 pagi melibatkan dua lelaki tidak dikenali yang menaiki sebuah motosikal.

“Seorang suspek bersenjatakan pisau dan mengugut mangsa lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an, manakala seorang lagi mengambil wang tunai dianggarkan RM600 serta beberapa karton rokok pelbagai jenama, sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, polis turut menerima maklumat pada 9.48 malam mengenai satu lagi kes samun melibatkan tiga lelaki yang menaiki dua motosikal dan bersenjatakan parang di kawasan perumahan rumah rakyat Nilai.

“Suspek dipercayai mengugut mangsa wanita tempatan berusia lingkungan 50-an, sebelum melarikan barang berharga milik mangsa termasuk wang tunai, kad bank dan barang kemas.

“Mangsa turut mengalami kecederaan ringan pada bahagian jari tangan akibat cuba mempertahankan beg miliknya dan jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM2,000,” katanya.

Johari berkata kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 394 dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan serta meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kedua-dua kejadian untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Beliau berkata pihaknya akan terus mempertingkatkan rondaan dan operasi pencegahan jenayah di kawasan tumpuan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan