DUNIA

Pemimpin Tertinggi Iran Beri Bayangan “Fasa Baharu” Dalam Pengurusan Selat Hormuz

10/04/2026 12:41 PM

ISTANBUL, 10 April (Bernama-Anadolu) -- Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Seyyed Mojtaba Hosseini Khamenei berkata dalam satu perutusan pada Khamis bahawa pengurusan Selat Hormuz akan “memasuki fasa baharu”, sambil menegaskan bahawa Tehran akan menuntut pampasan bagi semua kerugian berkaitan perang, lapor Anadolu Ajansi.

Perutusan yang dikeluarkan pejabatnya pada hari ke-40 sejak kematian bapanya, bekas Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei, menyifatkan pemergiannya sebagai “tamparan hebat" kepada rakyat Iran, serta antara detik paling menyakitkan dalam sejarah mutakhir negara itu.

Perutusan itu menggambarkan fasa semasa sebagai kesinambungan perjuangan dan legasi bapanya.

Khamenei berkata Iran akan bergerak ke arah fasa strategik baharu berkaitan Selat Hormuz. 

“Pengurusan Selat Hormuz sudah pasti akan memasuki fasa baharu,” katanya tanpa memberi sebarangan perincian.

Khamenei menegaskan bahawa Iran akan menuntut pertanggungjawaban dari segi undang-undang dan harta benda terhadap kerosakan yang berlaku.

“Kami sama sekali tidak akan membiarkan penceroboh yang menyerang negara kami terlepas tanpa hukuman,” kata beliau.

Beliau berkata Iran akan “menuntut pampasan bagi semua kerosakan, termasuk darah para syahid dan mereka yang cedera.” 

Kenyataan itu dibuat ketika Iran bersiap sedia untuk berunding dengan Amerika Syarikat (AS) di Pakistan, yang dijangka bermula pada Sabtu di bawah pengantaraan Pakistan.

Iran berkata rundingan itu bertujuan memuktamadkan butiran perjanjian yang berpotensi dimeterai, sambil menegaskan bahawa ia tidak bermakna konflik telah berakhir. 

Khamenei turut memberi amaran bahawa Iran kekal bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang pencerobohan baharu.

“Tangan kami tetap berada di picu,” katanya, sambil menegaskan bahawa sebarang kesilapan oleh pihak lawan akan dibalas dengan tindak balas tegas. 

Rantau itu terus berada dalam keadaan berjaga-jaga sejak Israel dan AS melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Feb, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 3,000 orang, termasuk bekas pemimpin tertingginya.

Tehran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, sekali gus menyebabkan kemalangan jiwa, kerosakan infrastruktur serta gangguan kepada pasaran global dan penerbangan.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan