AM

FAMA Buka Peluang Latihan Industri Dalam Sektor Agromakanan

10/04/2026 03:33 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuka peluang kepada pelajar menyertai program latihan industri dalam sektor agromakanan, bertujuan memperkasakan bakat muda dalam sektor itu.

Program itu terbuka kepada pelajar peringkat diploma dan ijazah dalam pelbagai bidang kritikal termasuk ekonomi, pemasaran, pengurusan perniagaan, perniagaan tani dan pengurusan perladangan.

Selain itu, pelajar daripada bidang teknikal dan profesional seperti kejuruteraan, statistik, undang-undang  serta bidang guna sama merangkumi pengurusan sumber manusia, multimedia, kewangan dan teknologi maklumat juga digalakkan untuk memohon.

Pengerusi FAMA Aminuddin Zulkipli dalam kenyataan hari ini berkata pemberian elaun latihan industri akan disediakan berdasarkan peruntukan yang diluluskan serta tertakluk kepada kedudukan kewangan semasa agensi.

Beliau berkata pelajar yang mengikuti latihan industri di FAMA akan didedahkan secara menyeluruh kepada operasi harian merangkumi keseluruhan rantaian nilai industri agromakanan.

“Antaranya termasuk pengalaman di Pusat Memproses Makanan FAMA Rengit (PMMFR) yang membolehkan pelajar memahami proses penghasilan produk bermula dari peringkat ladang sehingga ke pemasaran di outlet seperti Agrobazaar,” katanya.

Aminuddin berkata pelajar turut didedahkan kepada aspek pengurusan logistik dan rantaian bekalan, melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti lapangan.

Beliau berkata perkara itu seperti pengumpulan hasil pertanian termasuk mangga Harumanis di Perlis dan tembikai di Terengganu, bagi memastikan kualiti produk terpelihara sehingga sampai kepada pengguna.

Pelajar juga berpeluang terlibat dalam program berskala besar seperti Jualan Agro MADANI (JAM) dan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA), sekali gus memberi pendedahan dalam aspek pengurusan acara, penyelarasan logistik dan interaksi bersama pelanggan.

“FAMA turut memberi penekanan terhadap pematuhan piawaian industri bagi meningkatkan kebolehpasaran pelajar. Ini termasuk pendedahan kepada prosedur serta keperluan pensijilan penting seperti Sijil Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) serta standard kualiti lain yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.

Pelajar yang berminat boleh memuat turun borang rasmi latihan industri melalui laman sesawang rasmi FAMA di www.fama.gov.my/borang dan permohonan yang lengkap hendaklah dikemukakan melalui emel kepada latihanindustri@fama.gov.my.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan dengan menghubungi talian 03-6033 2020.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan