KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Lebih 60 negara termasuk Malaysia yang menyumbang tentera untuk Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan terhadap pasukan itu.
Ini termasuk serangan membimbangkan terbaharu yang mengorbankan tiga tentera pengaman Indonesia dan mencederakan beberapa yang lain dari Perancis, Ghana, Nepal dan Poland.
Pada Khamis (9 April), sebuah video disiarkan di saluran YouTube PBB menampilkan Wakil Tetap Indonesia ke PBB Duta Besar Umar Hadi, membaca kenyataan bersama mengenai keamanan dan keselamatan pasukan pengaman.
Dalam kenyataan itu, negara-negara berkenaan menyatakan "kebimbangan mendalam" terhadap peningkatan ketegangan di Lubnan sejak 2 Mac 2026 dan kesannya terhadap keamanan serta keselamatan pasukan pengaman.
“Kami dengan tegas mengutuk tingkah laku agresif yang tidak boleh diterima terhadap kakitangan dan kepimpinan UNIFIL yang dilihat baru-baru ini,” kata Umar.
Beliau berkata pasukan pengaman tidak boleh sama sekali menjadi sasaran serangan dan serangan ke atas mereka adalah dilarang apabila mereka menikmati perlindungan di bawah undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan, dan tindakan itu boleh menjadi jenayah perang.”
Kenyataan itu menegaskan "keamanan dan keselamatan pasukan pengaman PBB tidak boleh dirundingkan."
Ia menggesa PBB dan Majlis Keselamatan untuk "menggunakan semua alat yang ada bagi mengukuhkan perlindungan pasukan pengaman PBB dalam persekitaran yang semakin berbahaya."
Umar menegaskan semula bahawa "sokongan penuh" untuk UNIFIL dan mandatnya seperti yang dinyatakan dalam resolusi Majlis Keselamatan berkaitan dan menggesa semua pihak dalam "semua keadaan, untuk mengambil semua langkah demi memastikan keamanan dan keselamatan anggota serta premis pengaman mengikut undang-undang antarabangsa."
Kenyataan itu menyeru PBB untuk "terus menyiasat semua serangan terhadap pasukan pengaman dengan segera, telus dan komprehensif serta memastikan negara penyumbang tentera berkaitan dimaklumkan mengenai kemajuan siasatan itu, yang konsisten dengan Resolusi Majlis Keselamatan 2518 (2020) dan 2589 (2021)."
“Mereka yang melakukan serangan ini mesti dipertanggungjawabkan,” tegas Umar.
Umar turut menyatakan "kebimbangan mendalam" terhadap situasi kemanusiaan di Lubnan, "terutamanya korban awam yang ketara, kemusnahan meluas infrastruktur awam dan pemindahan besar-besaran lebih daripada satu juta orang."
“Kami menyeru pihak terbabit untuk segera kembali kepada pengaturan pemberhentian permusuhan pada 2024 dan menghormati Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701 2026,” katanya sambil mendesak permusuhan dihentikan di Lubnan, ketegangan diredakan dan semua pihak kembali ke meja rundingan.”
Umar mengulangi komitmen kuat negara-negara itu terhadap kedaulatan, kemerdekaan, integriti wilayah dan perpaduan Lubnan.
“Kami menyatakan penghormatan atas dedikasi dan perkhidmatan semua anggota pengaman PBB yang mempertaruhkan nyawa mereka demi keamanan dan keselamatan antarabangsa, dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua negara penyumbang tentera.”
Umar bercakap mewakili Algeria, Armenia, Australia, Austria, Bahrain, Bangladesh, Belgium, Brazil, Brunei Darussalam, Kemboja, China, Colombia, Croatia, Cyprus, Congo, Denmark, Mesir, El Salvador, Estonia, Finland, Perancis, Jerman, Ghana, Greece, Guatemala, Hungary, Indonesia, Ireland, Itali, Jordan, Latvia, Liberia, Luxembourg, Malaysia, Moldova, Mongolia, Maghribi, Nepal, Belanda, Macedonia Utara, Pakistan, Panama, Filipina, Poland, Portugal, Qatar, Korea Selatan, Romania, Rusia, Sierra Leone, Slovakia, Slovenia, Sepanyol, Sri Lanka, Sweden, Tanzania, Thailand, Timor-Leste, Turkiye, United Kingdom, Uruguay, Zambia dan Kesatuan Eropah.
Video penuh boleh ditonton di https://www.youtube.com/watch?v=0qgbL6ZDvu0.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial