KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak memberi tumpuan kepada isu ekonomi negara ketika ini berbanding hal dalaman politik.
Anwar, yang juga Presiden PKR, berkata ini termasuk gesaan beberapa pimpinan parti itu supaya tindakan diambil terhadap bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli.
“Tak apalah... kita minta bertenang, tumpu masalah ekonomi negara yang lebih serius daripada masalah peribadi,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat dan solat hajat di Masjid Nurussaadah di sini hari ini.
Sebelum ini, beberapa pimpinan parti antaranya Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR A Kumaresan menggesa tindakan diambil terhadap Rafizi kerana mendakwa Ahli Parlimen Pandan itu melemahkan parti.
Terdahulu, Rafizi mencabar PKR memecat beliau ketika mempertahankan beberapa kenyataannya terhadap kepimpinan parti, yang disenaraikan dalam surat tunjuk sebab kedua dikeluarkan semalam.
Rafizi dilaporkan lantang mengkritik kerajaan dan PKR selepas beliau tidak lagi memegang jawatan Timbalan Presiden dalam parti berkenaan serta meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi pada Mei tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial