AM

KUSKOP, TNB Perkukuh Kerjasama Bantu PMKS Hadapi Impak Krisis Tenaga Global

10/04/2026 05:45 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkukuh kerjasama dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk merangka langkah sokongan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menghadapi tekanan kos yang semakin meningkat.

Perkara tersebut dibincangkan semasa pertemuan antara Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Shamsul Ahmad hari ini.

Pertemuan itu diadakan susulan krisis tenaga global ketika ini yang turut memberi tekanan besar kepada PMKS khususnya dari segi kos elektrik dan operasi harian.

“Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada langkah praktikal bagi membantu PMKS mengurus kos operasi dengan lebih berkesan, menambah baik aliran tunai serta mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu (RE).

“Langkah ini bertujuan membantu perniagaan mengurus kos melalui kecekapan tenaga, penggunaan skim seperti Time-of-Use (ToU) serta peralihan kepada RE bagi memastikan kelangsungan operasi dalam menghadapi ketidaktentuan global,” menurut KUSKOP dalam satu kenyataan.

Selain itu, pertemuan tersebut juga menggariskan beberapa bidang kerjasama strategik antara KUSKOP dan TNB, termasuk cadangan penyelarasan insentif atau tarif lebih bersesuaian dipertimbangkan untuk PMKS.

Menurut kementerian itu, kerjasama tersebut turut meliputi aspek pendigitalan dan peralihan tenaga termasuk memperluas akses PMKS kepada pemasangan solar melalui model pembiayaan yang lebih fleksibel seperti perbelanjaan modal sifar, selaras dengan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan usaha mempercepat penggunaan RE.

KUSKOP dan TNB juga akan bekerjasama melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) bagi memperluas program latihan dan pembangunan keupayaan usahawan meliputi aspek pengurusan kewangan serta pengembangan dan penskalaan perniagaan.

Sementara itu Sim berkata PMKS perlu diberi lebih banyak peluang untuk menyertai ekosistem peralihan tenaga di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) termasuk dalam sektor baharu seperti solar, kenderaan elektrik (EV), pusat data serta teknologi tenaga melalui platform seperti Energy Transition Conference. 

“KUSKOP akan bekerjasama rapat dengan TNB untuk meneroka insentif bersasar serta memperluas kesedaran bagi memastikan lebih ramai PMKS dapat memanfaatkan inisiatif ini.

“Dengan menggabungkan usaha pengurusan kos dan peluang peralihan tenaga, kita mahu memastikan PMKS Malaysia kekal berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia untuk berkembang ke pasaran baharu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan