KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Jabatan Penjara Malaysia bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi keselamatan lain dalam usaha mengesan serta menahan semula seorang orang kena tuduh (OKT) warga Pakistan yang bolos dari Penjara Sungai Buloh semalam.
Jabatan itu dalam kenyataan memaklumkan kejadian berlaku pada 6 petang ketika dalam proses penghantaran OKT berkenaan ke penjara Penjara Sungai Buloh, sejurus selesai prosiding perbicaraannya di Mahkamah Shah Alam.
“Pihak kami komited untuk terus memastikan keselamatan tahanan dan orang awam sentiasa terpelihara serta akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran prosedur,” menurut kenyataan itu hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor dipetik berkata lelaki itu, yang kali terakhir dilihat berpakaian kemeja-T berwarna jingga dan seluar panjang hitam melarikan diri ketika berada dalam tahanan reman.
Lelaki warga Pakistan itu ditahan atas kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
Beliau disiasat mengikut Seksyen 377C dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 (d) dan (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kedudukan banduan itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor C. Muhendran di talian 010-430 4383 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian 03-6156 1222.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial