Oleh Nur Syahidayah Mahasan
KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) dijangka menerima 113 unit stesen radio taktikal Frekuensi Tinggi (HF) XL generasi baharu bermula awal 2028 susulan kontrak yang dimeterai tahun lepas antara Thales dan rakan kongsi tempatan, Advanced Defence Systems Sdn Bhd (ADS).
Pengarah Urusan Thales Malaysia dan Brunei Florian Riou berkata penghantaran akan dilaksanakan secara pukal melalui ADS, menyaksikan Malaysia menjadi pelanggan eksport pertama di dunia bagi radio generasi baharu itu selepas Perancis.
“Kami menandatangani kontrak itu pada 2025. Ini ialah kontrak pertama dan rujukan awal bagi radio generasi baharu ini. Malaysia ialah pelanggan eksport pertama di dunia selepas Perancis, dan kami amat berbangga dengan kepercayaan yang diberikan oleh Tentera Darat Malaysia,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif semasa demonstrasi secara langsung, baru-baru ini.
Florian berkata radio itu telah pun diserahkan kepada Tentera Darat Perancis, manakala Malaysia akan menjadi negara pertama di Asia yang menggunakan teknologi HF XL.
Beliau berkata pemilihan Malaysia mencerminkan kerjasama strategik dengan Thales, yang telah beroperasi di negara ini sejak 1981, dengan lebih 100 pekerja, iaitu 90 peratus daripadanya adalah bakat tempatan.
“Malaysia ialah rakan strategik penting bagi kami. Kami seiring dengan keutamaan strategik Malaysia, termasuk kedaulatan dan keselamatan,” katanya.
Kontrak itu melibatkan lebih 100 stesen radio HF XL TRC 3900 lengkap yang dipasang pada kenderaan, termasuk radio, amplifier dan antena, sekali gus meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam kemajuan komunikasi taktikal di rantau ini.
Teknologi HF XL yang diperkenalkan pada Eurosatory 2024, menawarkan kadar penghantara data hingga 10 kali ganda lebih tinggi berbanding sistem HF sedia ada serta memastikan komunikasi jarak jauh yang berdaya tahan dalam persekitaran mencabar, yang sesuai dengan geografi Malaysia.
Sistem itu menyediakan komunikasi yang selamat, kos operasi rendah dan liputan jarak jauh di kawasan terpencil atau persekitaran dengan sambungan satelit terhad, selain meningkatkan ketahanan terhadap penyesakan (jamming) serta membolehkan penghantaran fail data bersaiz besar termasuk imej dan penstriman video secara langsung.
Rangkaian TRC 3900 HF XL turut merangkumi penyelesaian 20W “manpack”, untuk operasi hingga 1,000 kilometer (km), selain sistem 400W dan 1KW yang membolehkan komunikasi antara pos arahan dengan ibu pejabat atau unit lain pada jarak hingga 5,000 km.
Florian berkata Thales telah membekalkan lebih 11,000 radio kepada Tentera Darat Malaysia sepanjang 25 tahun lepas, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan yang telah sekian lama bekerjasama dalam bidang komunikasi taktikal negara.
Radio HF XL itu serasi sepenuhnya dengan sistem sedia ada dalam inventori Tentera Darat, sekali gus memperkukuh keupayaan komunikasi yang di negara ini.
Sementara itu, Bernama menghadiri demonstrasi langsung radio HF XL yang diadakan di padang bola sepak Kementerian Pertahanan, yang memperlihatkan prestasi komunikasi jarak jauh, kebolehpercayaan dalam persekitaran mencabar serta ciri penghantaran data selamat.
Demonstrasi itu dijalankan serentak di tiga lokasi, iaitu Kuala Lumpur (400W), Kota Kinabalu, Sabah (400W) dan Lumut, Perak (125W) dengan penstriman langsung antara lokasi.
Sistem itu direka untuk menyokong beyond-line-of-sight (BLOS), menjadikannya penyelesaian penting bagi operasi ketenteraan, respons bencana serta ketersambungan di kawasan terpencil.
Peralatan yang dipamerkan termasuk sistem radio taktikal HF XL 400W yang dikonfigurasi dengan antena ANT 308, berupaya menghantar data dan menyokong penstriman langsung.
Peserta turut diberikan penerangan menyeluruh mengenai ciri utama sistem itu, termasuk reka bentuk, kemudahan pelaksanaan serta kebolehsuaian dalam pelbagai senario operasi.
Florian berkata beberapa negara lain di rantau ini termasuk Indonesia turut berminat terhadap teknologi berkenaan, dan Thales sedang meneroka potensi untuk pelaksanaannya.
Beliau berkata radio HF XL itu akan dipamerkan pada Pameran Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NatSec) Asia 2026, yang bakal diadakan bersama ADS sebagai sebahagian usaha memperkukuh kedudukannya di rantau ini.
“Ini menunjukkan Malaysia sedang mencari keupayaan komunikasi berteknologi tinggi bagi menangani cabaran geografi, dan kami amat berbangga dapat menyokong usaha itu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial