Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Pasaran getah dijangka didagangkan dalam jajaran kecil pada minggu hadapan, menjejaki niaga hadapan getah serantau di tengah-tengah kebimbangan bekalan yang berterusan, kata Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).
Persatuan itu berkata terdapat kebimbangan mengenai bekalan bahan mentah yang agak terhad di negara pengeluar utama getah termasuk kekurangan dalam lateks getah nitril butadiena (NBR).
"Konflik yang masih memuncak di Asia Barat telah menjejaskan industri sarung tangan global, terutamanya dari segi ketersediaan bahan mentah, jadual penghantaran dan peningkatan kos pengangkutan serta insurans," kata persatuan itu kepada Bernama.
Pakar industri Denis Low berkata kekurangan nitril menjejaskan pengeluaran lateks nitril dan sehubungan itu, menyebabkan banyak pengguna sarung tangan beralih kepada sarung tangan getah asli.
"Peralihan ini meningkatkan permintaan lateks pukal. Selain itu, keadaan cuaca dan musim sejuk pokok getah yang berterusan turut menyumbang kepada bekalan getah yang lebih terhad," katanya.
Bagaimanapun, Low berkata pasaran menjadi lembap berikutan ketidaktentuan berkaitan perang, dengan kebanyakan komoditi, termasuk getah, menghadapi permintaan yang lebih lemah.
“Kami meramalkan pasaran perlahan minggu ini, dengan harga dan permintaan bergerak tidak banyak berubah dengan sedikit kecenderungan menaik berikutan produktiviti yang kurang memberangsangkan," tambahnya.
Dari Khamis hingga Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi SMR 20 menokok 3.5 sen kepada 823 sen sekilogram, manakala lateks pukal melonjak 32 sen kepada 759.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial