JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Warga Asing Ditahan Disyaki Cabul Wanita Di Stesen MRT

11/04/2026 12:19 PM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Seorang lelaki warga asing ditahan kerana disyaki mencabul seorang wanita di kaki lima stesen MRT Kuchai Lama, selepas mengekori mangsa yang sedang berjalan menuju ke tandas, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Hoo Chang Hook berkata tangkapan ke atas suspek yang merupakan seorang penganggur warga China berumur 20 tahun itu, dilakukan pada kira-kira 8.10 malam hari yang sama.

“Pihak polis telah menerima satu laporan insiden itu daripada mangsa yang mengatakan telah didatangi dari arah belakang oleh seorang lelaki yang tidak dikenali, sebelum memeluk pengadu tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hoo berkata mangsa merupakan warga tempatan berumur 22 tahun yang berkhidmat sebagai terapis kecantikan di Sunway Velocity, di sini.

Beliau berkata suspek kini direman sehingga 24 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

Terdahulu, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan memaklumkan suspek yang ditahan Polis Bantuan Prasarana, dipercayai terlibat juga dalam satu lagi kes gangguan seksual di dalam tren laluan Kelana Jaya.

“Suspek telah dibawa ke Balai Polis Sri Petaling untuk tindakan selanjutnya. Rapid Rail akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu proses siasatan,” menurut kenyataan itu.

Rapid Rail juga menyeru semua pengguna agar segera membuat laporan kepada pegawai stesen atau anggota Polis Bantuan Prasarana yang bertugas, sekiranya melihat atau menjadi mangsa sebarang gangguan agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan