JOHOR BAHRU, 11 April (Bernama) -- Kerajaan akan mengambil langkah intervensi untuk menangani isu bekalan dan kenaikan harga ubat-ubatan serta peranti perubatan, termasuk meneroka sumber alternatif bahan lain susulan krisis tenaga global.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata perkara utama adalah memastikan bekalan terjamin, sekali gus mengelak sebarang implikasi berlanjutan.
Ini penting memandangkan kebanyakan barangan termasuk ubat dan peranti perubatan menggunakan tenaga bahan api sebagai elemen atau input utama yang memberi kesan kepada kenaikan kos penghasilannya.
Sehubungan itu, beliau berkata bagi peranti perubatan misalnya, wajar diperoleh daripada industri yang tidak menggunakan resin sebagai bahan pembuatan.
"Contohnya, pembuatan peranti perubatan sebelum ini yang hanya bergantung kepada resin, mungkin kita boleh meneroka (penggunaan) polimer sebagai bahan asas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Kecemerlangan Akademik dan Perasmian Naik Taraf Padang Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Pelangi, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah kerajaan menangani isu bekalan dan kenaikan harga ubat-ubatan serta peranti perubatan susulan krisis tenaga global ketika ini.
Mengulas selanjutnya, Akmal Nasrullah bagaimanapun menegaskan peranti perubatan menggunakan bahan seperti polimer perlu mendapat pengiktirafan atau pensijilan sebelum boleh digunakan untuk sektor kesihatan negara ini.
Selain itu, beliau berkata kerajaan menjangkakan Jun dan Julai ini sebagai waktu kritikal untuk melihat dari segi memastikan bekalan bahan api selain barangan lain turut terjamin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial