KUALA NERANG, 11 April (Bernama) -- Kerajaan disaran mewujudkan satu mekanisme komprehensif bagi membantu pesawah susulan peningkatan mendadak kos operasi, khususnya akibat kenaikan harga diesel ketika ini.
Pengerusi UMNO Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kenaikan harga diesel hingga RM6.72 seliter memberikan kesan langsung kepada kos kerja penanaman padi yang melibatkan penggunaan jentera dan mesin.
Beliau berkata situasi menjadi lebih mencabar apabila sebahagian besar jentera pertanian seperti traktor dan mesin padi tidak mendapat kemudahan kad fleet bagi subsidi diesel, menyebabkan pengusaha terpaksa membeli bahan api itu pada harga pasaran semasa.
“Sebagai contoh, kos membajak sawah sebelum ini kira-kira RM80 bagi satu pusingan dan RM160 untuk dua pusingan. Namun kini, saya difahamkan kos tersebut meningkat hingga lebih RM300 bagi dua pusingan untuk satu relung.
“Penanam padi perlu membuat kiraan kerana itu belum termasuk kos musim menuai dan kos baja. Walaupun terdapat subsidi, kebiasaannya petani masih perlu membeli baja tanpa subsidi. Selain itu, terdapat juga kos pengangkutan hasil padi,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Mahdzir berkata pihaknya merayu kepada kerajaan pusat, khususnya Kementerian Kewangan, agar meneliti dan memperkenalkan mekanisme yang bersesuaian bagi memastikan kelangsungan sektor penanaman padi.
Perkara itu, katanya, penting memandangkan ramai petani, khususnya di negeri ini, sama ada yang mengusahakan padi di dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mahupun di luar kawasan tersebut, terkesan dengan peningkatan kos semasa.
Beliau turut menyarankan kerajaan supaya meneliti keseluruhan rantaian pengeluaran padi, daripada peringkat penanaman sehingga proses penuaian dan pengangkutan, bagi memastikan margin keuntungan petani kekal terjamin serta industri padi negara tidak terjejas.
Mengulas isu berasingan, Mahdzir yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap mencadangkan agar satu pasukan petugas khas diwujudkan bagi mengkaji secara menyeluruh aspek perkhidmatan feri ke Langkawi yang turut dibebani dengan peningkatan kos diesel.
“Satu pasukan petugas berkaitan perkhidmatan feri perlu diwujudkan, antaranya untuk menentukan jadual perjalanan, pengurusan operasi serta implikasi kewangan yang melibatkan pengusaha dan penumpang.
“Jika tiada pasukan petugas yang berkesan, dalam jangka masa panjang keadaan ini boleh menjejaskan industri pelancongan di Langkawi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial