KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Jenazah anggota tentera Prebet Muhammad Amirul Raziq yang meninggal dunia hari ini selepas dipercayai dipukul seorang anggota berpangkat koperal bulan lepas, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Sungai Kelamah, Gemas, Negeri Sembilan.
Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan memaklumkan jenazah anggota dari Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Bentong itu, akan dibawa pulang ke Gemas sebaik selesai proses bedah siasat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, Pahang.
Menurut kenyataan itu Muhammad Amirul, 24, disahkan meninggal dunia pada 9.40 pagi tadi selepas berada dalam keadaan koma sejak 30 Mac, ketika menerima rawatan di HoSHAS akibat dikasari oleh seorang anggota berpangkat koperal.
“Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Datuk Azhan Md Othman serta seluruh warga TDM merakamkan ucapan takziah kepada waris dan seluruh ahli keluarga Allahyarham serta turut berdukacita di atas kehilangan seorang warganya.
“TDM memohon semua pihak menghormati perasaan serta privasi keluarga Allahyarham dalam menghadapi detik sukar ini dan tidak mengeluarkan sebarang spekulasi yang boleh menganggu proses siasatan,” menurut kenyataan itu.
Allahyarham Muhammad Amirul dilaporkan tidak sedarkan diri dan menerima rawatan rapi di hospital berikutan kecederaan parah yang dialami susulan insiden pukul di Kem Batalion 25 RAMD, Bentong.
Kejadian itu dilaporkan berpunca daripada tindakan seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah (PTT) Rendah berusia 37 tahun yang didakwa menggunakan kekerasan akibat tidak berpuas hati berhubung penugasan yang diarahkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial