JENAYAH & MAHKAMAH

JAS Kelantan Periksa 301 Kenderaan Menerusi Ops Gerak Bersepadu

11/04/2026 05:39 PM

KOTA BHARU, 11 April (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan telah memeriksa sebanyak 301 kenderaan pelbagai jenis dalam Operasi Ops Gerak Bersepadu Kenderaan Motor bersempena dengan sambutan Hari Penguat Kuasa Tahun 2026.

Operasi itu dilaksanakan bermula 6 hingga 8 April dengan kerjasama agensi lain, iaitu Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

JAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, fokus utama Ops Gerak ini merangkumi penguatkuasaan di bawah pelbagai Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling termasuk kawalan pelepasan enjin petrol (1996), enjin diesel (1996), motosikal (2003), pengurusan refrigerant (2020), dan bunyi bising kenderaan motor (1987).

"Bagi penguatkuasaan ke atas kenderaan diesel, sebanyak 188 kenderaan telah ditahan untuk saringan secara visual, manakala 72 lagi diuji menggunakan meter asap.

"Sebanyak 17 kenderaan diesel telah dikenakan tindakan Notis Arahan untuk pemeriksaan semula di PUSPAKOM di bawah Seksyen 48A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127), manakala 13 kenderaan telah disyorkan untuk tawaran kompaun," menurut kenyataan itu.

Bagi kenderaan enjin petrol pula, pihak berkuasa menahan 12 kenderaan untuk diuji pelepasan asap.

"Pemeriksaan ke atas motosikal bagi kawalan pelepasan dan bunyi bising melibatkan 10 motosikal yang diuji dan dua Notis Arahan dikeluarkan untuk diuji semula, beserta dua syor tawaran kompaun.

Sehubungan dengan itu, orang awam diingatkan untuk sentiasa memastikan kenderaan diselenggara dengan baik bagi mengelakkan ketidakpatuhan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan di bawahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan