JENAYAH & MAHKAMAH

JKM Nafi Penglibatan Pegawai Dalam Video Tular

11/04/2026 05:47 PM

PUTRAJAYA, 11 April (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menafikan penglibatan mana-mana pegawainya dalam satu video tular di media sosial yang mendakwa keberadaan pegawai jabatan itu dalam kejadian berkenaan.

JKM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa individu yang dirujuk dalam video terbabit bukanlah pegawai jabatan itu, dan JKM tidak terlibat dalam sebarang tindakan seperti yang digambarkan.

Menurut kenyataan itu, setiap pegawai JKM yang menjalankan siasatan tertakluk kepada tatacara kerja semasa, termasuk memperkenalkan diri, menunjukkan kad kuasa atau pengenalan rasmi serta melaksanakan tugas secara profesional dan beretika.

"JKM memandang serius penyebaran maklumat yang tidak tepat yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat serta menjejaskan reputasi jabatan," menurut kenyataan itu.

Sehubungan dengan itu, JKM meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan digalakkan membuat semakan melalui saluran rasmi sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan kebajikan.

Sebarang aduan atau rujukan boleh disalurkan melalui Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-261 5999 yang beroperasi 24 jam, selain menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) yang berhampiran.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan