JENAYAH & MAHKAMAH

54 Hektar Kebakaran Belukar Di Bintulu Dan Matu-Daro Berjaya Dipadam

11/04/2026 10:27 PM

SIBU, 11 April (Bernama) -- Sebanyak 54 hektar daripada keseluruhan 70 hektar kawasan kebakaran belukar di beberapa lokasi di Bintulu serta Matu-Daro berjaya dipadamkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerusi operasi pemadaman hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak berkata berdasarkan kemas kini sehingga 7 malam tadi, kebakaran terbesar yang berjaya dikawal adalah di Jalan Matu-Igan berhampiran Jambatan Igan di Matu, dengan 20 hektar daripada keseluruhan 35 hektar kawasan terjejas berjaya dipadamkan.

Katanya kebakaran di belakang Flat Marine Jepak, di sini, yang melibatkan kawasan seluas 14 hektar pula hampir dipadam sepenuhnya apabila 13 hektar berjaya dikawal, manakala baki satu hektar masih dalam operasi pemadaman.

“Selain itu, kebakaran belukar di Jalan Kampung Kut–Kampung Saai di Pulau Bruit, Daro yang melibatkan kawasan seluas 13 hektar berjaya dipadamkan sepenuhnya selepas operasi memasuki hari kelapan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata kebakaran di Jalan Bruan–Tutus di Matu serta di Kampung Penasu, Daro yang masing-masing melibatkan kawasan seluas empat hektar turut berjaya dipadam sepenuhnya.

Katanya operasi pemadaman di Jalan Matu-Igan turut dibantu Unit Udara JBPM Sarawak menggunakan pesawat Mi-17i yang melaksanakan 10 kali ‘water bombing’.

“Operasi pemadaman akan disambung semula esok di kawasan yang masih terlibat, selain pemantauan berterusan bagi memastikan tiada kebakaran berulang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan