AM

Ramanan Komited Perkasa Prasarana Sekolah, Salur Lebih RM100,000 Sejak 2023

12/04/2026 04:04 PM

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R. Ramanan komited memperkasa prasarana dan kualiti pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 8 Kota Damansara menerusi penyaluran peruntukan melebihi RM100,000 sejak 2023.

Ramanan yang juga Menteri Sumber Manusia berkata usaha memperkukuh kemudahan pendidikan di sekolah berkenaan akan terus menjadi fokus utama bagi memastikan pelajar menikmati persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan berkualiti.

“Pembangunan prasarana sekolah dan sokongan kepada pelajar adalah pelaburan penting untuk masa depan negara. Kami akan terus pastikan sekolah seperti SMK Seksyen 8 Kota Damansara mendapat perhatian sewajarnya agar bakat dan potensi anak-anak dapat dibangunkan dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata melalui Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh, pelbagai sumbangan dan inisiatif penambahbaikan kemudahan sekolah dilaksanakan secara berperingkat termasuk pemasangan sistem penyaman udara di makmal komputer, pusat sumber, bilik guru, bilik Unit Bimbingan dan Kaunseling serta bilik peperiksaan pada 2023 berjumlah RM41,700.

Pada 2024, beliau berkata sebanyak RM17,034 disalurkan bagi pembelian alat penyejuk udara dan peralatan siar raya dewan sekolah, selain RM10,000 bagi pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat anjuran Yayasan Bank Rakyat.

Selain itu, sebanyak RM21,800 turut diperuntukkan bagi pelbagai program sekolah termasuk sumbangan untuk Kejohanan Sukan Tahunan sebanyak RM5,000, menjadikan jumlah keseluruhan RM10,000 kepada pemenang acara khusus untuk kejohanan tahun ini.

Secara keseluruhan, beliau berkata jumlah peruntukan dan sumbangan yang telah disalurkan setakat ini adalah melebihi RM100,000.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh prasarana pendidikan serta memastikan kebajikan pelajar dan warga sekolah terus terpelihara ke arah kecemerlangan yang lebih menyeluruh,” katanya.

Dalam pada itu, Ramanan turut mengumumkan peruntukan melalui Projek Mesra Rakyat bagi mengubah suai surau selepas mendengar permintaan warga sekolah untuk memberikan suasana lebih selesa dan kondusif kepada pelajar.

Beliau juga memaklumkan telah berhubung dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh bagi mengusahakan pembinaan padang sekolah baharu di sekolah berkenaan.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan