AM

KDN Nilai Jumlah Jualan Bahan Api Bagi Penguatkuasaan Stesen Minyak Di Sempadan

12/04/2026 04:25 PM

PENGKALAN HULU, 12 April (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menilai jumlah jualan bahan api di stesen minyak berhampiran sempadan negara dalam pelaksanaan penguatkuasaan bagi mengekang penyeludupan bahan api.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya akan mendapatkan data jualan daripada Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengenal pasti stesen minyak yang mencatatkan jualan tidak munasabah.

“Sebaik sahaja dikongsi rekod jualan pada kita, maka kita akan menggerakkan pasukan polis memberi tumpuan terus kepada stesen minyak berhampiran sempadan yang menyaksikan rekod jualan tidak munasabah. Itu akan memudahkan aktiviti kita.

“Kalau jumlah jualan itu mencatatkan rekod jualan luar biasa tingginya, maka itu fokus utama kami,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan dan pemantauan operasi kawalan sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Suhaily Mohd Zain.

Semalam, Saifuddin Nasution berkata KDN akan menempatkan anggota polis di stesen minyak berhampiran kawasan sempadan bagi memantau dan mengekang penyeludupan bahan api.

Langkah itu susulan arahan terbaharu Kabinet minggu lepas susulan konflik di Asia Barat yang berisiko memberi kesan rantaian terhadap bekalan dan harga barangan negara.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata KDN akan melihat semua akta yang bersesuaian bagi mendakwa mereka yang terlibat dalam penyeludupan dan ketirisan bahan api.

Beliau berkata walaupun kes melibatkan barang kawalan termasuk bahan api di bawah KPDN yang bertanggungjawab menguatkuasakan Akta Barang Kawalan, namun kes yang melibatkan penyeludupan dan kecurian terletak di bawah KDN. 

Saifuddin Nasution berkata kerjasama antara agensi penguatkuasaan akan terus diperkukuh bagi memastikan usaha mengekang ketirisan subsidi dan melindungi kepentingan rakyat dapat dilaksanakan secara berkesan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan