Oleh Wong Chun Wai
KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Negara kini dalam mod krisis.
Ini adalah realiti, dan kerajaan wajar diberi pujian kerana tidak cuba menutup keadaan dengan menggambarkan semuanya baik belaka sedangkan hakikatnya tidak begitu.
Gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran merupakan kelegaan yang dialu-alukan, namun ia bersifat sementara dan tertakluk pada syarat tertentu.
Banyak yang akan bergantung kepada hasil rundingan, walaupun Selat Hormuz dibuka semula kepada semua kapal, keadaan dijangka mengambil masa berbulan-bulan sebelum kembali pulih seperti sedia kala.
Penganalisis pasaran global di syarikat perkhidmatan kewangan eToro, Lale Akoner, dipetik CNN sebagai berkata ia mungkin mengambil masa hingga enam bulan untuk mengembalikan trafik perkapalan kepada tahap sebelum perang bermula.
Situasi ini adalah di luar kawalan kita. Malaysia membelanjakan RM6 bilion sebulan bagi mengekalkan harga bahan api pada paras rendah.
Keadaan ini jelas tidak boleh berterusan, namun yang lebih membimbangkan ialah sama ada bekalan mencukupi dapat terus dijamin, bagi mengelakkan situasi stesen minyak ditutup atau pengguna terpaksa beratur panjang di premis berkenaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan jaminan bahawa bekalan bahan api domestik masih mencukupi untuk memenuhi permintaan negara hingga April dan Mei.
Namun, pada ketika peluru berpandu dilancarkan di seluruh Asia Barat dan laluan minyak tidak lagi terjamin, Perdana Menteri wajar mengingatkan rakyat Malaysia - khususnya ahli politik - bahawa negara berdepan cabaran yang jauh lebih besar daripada perbalahan politik kepartian.
Implikasinya adalah segera dan nyata: kenaikan kos bahan api, ketidaktentuan rantaian bekalan, tekanan inflasi, kelemahan nilai ringgit serta kehilangan pekerjaan.
Malah Bank Negara turut mengakui bahawa konflik berpanjangan berisiko untuk merencatkan pertumbuhan ekonomi, meskipun ketika ini ia masih berdaya tahan.
Perang berkenaan telah mengganggu rantaian bekalan global secara serius, mencetuskan kekurangan resin plastik serta bekalan perubatan penting termasuk tiub perubatan plastik, picagari dan bahan pembungkusan. Pengeluar minyak sawit utama turut terkesan apabila berlaku kekurangan kritikal baja akibat sekatan di laluan selat berkenaan.
Kini turut berlaku kekurangan global bitumen yang penting untuk pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya, di samping kenaikan harga yang menyebabkan kelewatan projek pembinaan.
Kerajaan pula terpaksa mengambil langkah luar biasa, termasuk menggalakkan kerja dari rumah bagi mengurangkan penggunaan tenaga serta menyusun semula keutamaan perbelanjaan negara. Ini bukan pelarasan dasar biasa, sebaliknya petunjuk bahawa negara sedang bersiap siaga menghadapi tekanan.
Namun begitu, dalam keadaan ini, wacana politik negara berisiko terus dibayangi perkara lazim - percaturan politik, perubahan kedudukan dan spekulasi mengenai pilihan raya.
Terdapat ahli politik berpengalaman yang mempersoalkan kenaikan harga bahan api sambil berpura-pura tidak mengambil kira perkembangan di Iran serta kesan globalnya.
Seorang ahli politik turut bertanya mengapa loji penapisan di Terengganu tidak mencukupi untuk menampung keperluan Malaysia, seolah-olah tidak menyedari bahawa negara ini adalah pengimport minyak.
Politik sering didorong oleh hal-hal segera - siapa berkata apa, siapa mendapat kelebihan dan siapa kehilangan pengaruh. Namun tadbir urus, khususnya dalam keadaan krisis global, menuntut fokus, kesinambungan dan disiplin. ia juga menjadi ujian kepada kepimpinan sebenar.
Dalam keadaan krisis, kita dapat menilai ahli politik yang mampu mengemudi negara ketika berdepan kesukaran, dan mereka yang hanya memberi kenyataan tanpa kefahaman mendalam.
Seperti diakui, Anwar bukan sekadar memberi amaran, malah telah bertindak. Usaha diplomasi melalui perbualan telefon beliau telah membuahkan hasil nyata, termasuk memastikan laluan selamat bagi kapal-kapal Malaysia melalui Selat Hormuz. Ini bukan sekadar dasar luar yang abstrak - ia juga adalah kelangsungan ekonomi.
Malaysia tidak mampu berdepan dengan politik berlebihan buat masa ini, ketika negara mengimbangi keselamatan tenaga, kos sara hidup, isu perdagangan dan perkapalan serta usaha mengekalkan keyakinan pelabur.
Ketidakstabilan politik dalam negara, apabila bertembung dengan ketidaktentuan global, boleh mencetuskan aliran keluar modal. Ini bukan isu yang boleh dibahaskan melalui slogan kempen atau diselesaikan dalam ceramah, kenyataan media mahupun hantaran media sosial.
Pendekatan negara perlu kekal berhemah, berprinsip dan pragmatik - mencerminkan kefahaman bahawa Malaysia perlu mengemudi dengan berhati-hati antara kuasa-kuasa besar sambil melindungi kepentingan negara.
Pertikaian politik berlarutan hanya memberi isyarat bahawa sesetengah pihak lebih sibuk dengan perebutan kuasa di Putrajaya berbanding melindungi rakyat daripada kesan ekonomi akibat perang.
Peningkatan subsidi akan melebarkan defisit fiskal, menjejaskan pasaran minyak global yang kini terkesan akibat konflik di satu daripada laluan tenaga paling strategik dunia. Apabila harga meningkat di peringkat antarabangsa, kerajaan hanya mempunyai dua pilihan: memindahkan kos kepada rakyat atau menanggungnya melalui subsidi.
Jika kerajaan menanggung RM6 bilion subsidi, perlu diingat bahawa jumlah itu datang daripada perbendaharaan negara yang boleh digunakan untuk kesihatan, pendidikan, infrastruktur serta bantuan bersasar kepada golongan rentan.
Untuk menuntut “harga minyak lebih rendah” tanpa mengambil kira pertimbangan ini adalah pendekatan politik yang tidak bertanggungjawab.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial