Oleh Ahmad Erwan Othman
KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Langkah mewajibkan syarikat farmaseutikal melaporkan kemungkinan kekurangan bekalan ubat sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal, berkuat kuasa 1 Julai ini, disifatkan sebagai proaktif serta mampu memperkukuh jaminan bekalan negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Presiden Persatuan Farmasi Malaysia Prof Amrahi Buang berkata inisiatif itu bagaimanapun perlu disokong dasar menyeluruh termasuk pewujudan stok penimbal dan pengukuhan keupayaan pengeluaran tempatan.
Beliau berkata isu keterjaminan bekalan ubat perlu diberi perhatian serius dengan mengambil iktibar daripada pengalaman pandemik COVID-19 apabila bekalan ubat asas seperti paracetamol mengalami kekurangan ketara.
“Ketika pandemik, ubat asas seperti paracetamol habis di pasaran. Ini menjadi pengajaran besar kepada negara supaya tidak lagi memandang remeh isu rantaian bekalan.
“Sehubungan itu, kami menyarankan kerajaan memberi perhatian serius terhadap keterjaminan bekalan, termasuk keperluan stok bagi menghadapi situasi luar jangka seperti peperangan atau bencana,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Amrahi yang juga Ahli Lembaga Penasihat Fakulti Farmasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata dalam situasi krisis, semua pihak termasuk Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) perlu bertindak secara bersepadu, selain maklumat terkini amat penting bagi memastikan bekalan ubat mencukupi.
Mengulas punca gangguan bekalan, beliau berkata kira-kira 70 peratus bekalan ubat negara diimport, sekali gus mendedahkannya kepada risiko masalah logistik di luar kawalan.
Katanya Malaysia perlu membangunkan stok penimbal bagi ubat kritikal sebagai langkah keselamatan, selain menyemak semula Senarai Ubat Penting Kebangsaan (NEML).
“Dalam situasi krisis, semua pihak termasuk rakyat perlu memainkan peranan. Kita juga perlu memperkukuh industri pembuatan tempatan melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu,” katanya, sambil mencadangkan negara mencari alternatif pembekal dari China dan India serta tidak terlalu bergantung kepada negara Barat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia Azlin Othman menyifatkan langkah berkenaan sebagai intervensi penting bagi melindungi kepentingan pesakit, walaupun berdepan cabaran tertentu kepada industri.
“Bagi ubat kritikal dengan permintaan stabil, pelaksanaan ini praktikal. Namun, bagi ubat yang bergantung kepada bahan mentah global, unjuran enam bulan mungkin mencabar.
“Pelaksanaan perlu fleksibel dan disokong sistem pelaporan digital yang efisien supaya tidak membebankan industri dengan birokrasi,” katanya.
Pada masa sama, Azlin menyokong usaha membangunkan stok penimbal, khususnya bagi ubat asas dan rawatan penyakit kronik seperti hipertensi, diabetes serta antibiotik yang kerap terjejas.
Katanya kekurangan bekalan boleh menyebabkan doktor terpaksa mengubah pelan rawatan pesakit.
“Selain pelaporan awal, kerajaan disaran mewujudkan sistem pemantauan berpusat, audit berkala serta saluran komunikasi pantas antara industri dan fasiliti kesihatan,” katanya.
Dari aspek penguatkuasaan, beliau mencadangkan syarikat yang gagal mematuhi arahan dikenakan penalti kerana berisiko menjejaskan kesihatan awam, selain pemberian insentif kepada syarikat yang patuh dan proaktif.
“Pendekatan stok penimbal bagi ubat kritikal serta peningkatan pengeluaran tempatan adalah penyelesaian paling mampan untuk jangka panjang,” katanya.
Jumaat lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Malaysia akan mewajibkan syarikat farmaseutikal melaporkan kemungkinan kekurangan bekalan ubat sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal bermula 1 Julai ini , sebagai sebahagian usaha memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi gangguan rantaian bekalan global.
Langkah itu yang ketika ini bersifat sukarela merupakan sebahagian daripada peralihan ke arah pengurusan risiko secara proaktif bagi memastikan kesinambungan bekalan dalam keadaan ketidaktentuan global.
Dzulkefly berkata pemain industri diberi tempoh hingga 15 April untuk mengemukakan maklum balas mengenai ketersediaan bahan farmaseutikal aktif dan bahan pembungkusan bagi membolehkan intervensi awal dilaksanakan sebelum kekurangan memberi kesan kepada fasiliti kesihatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial