ALOR GAJAH, 12 April (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengemukakan cadangan langkah segera serta jangka sederhana kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Kabinet bagi menangani risiko berkaitan sektor pertanian susulan krisis tenaga global.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan itu turut mengambil kira pandangan pemain industri bagi memastikan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi situasi semasa.
“Insya-Allah, pengumuman berkaitan perkara ini akan dibuat oleh KPKM,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Masjid Tanah di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menggesa pembangkang agar mengemukakan cadangan konstruktif bagi membantu kerajaan menangani cabaran yang timbul akibat ketidakstabilan geopolitik global.
“Masalah ini adalah masalah bersama… sepatutnya pembangkang memberikan buah fikiran yang bernas.
“Jika mereka mempunyai kepakaran, inilah masa terbaik untuk kita mencari jalan menyelamatkan negara walaupun berada di pihak pembangkang,” katanya.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata kerajaan sedang meneliti beberapa cadangan bagi membantu pesawah yang terkesan akibat kenaikan kos input pertanian susulan lonjakan harga bahan api global.
Beliau menerusi hantaran di Facebook berkata cadangan yang sedang dipertimbangkan termasuk penggunaan kad fleet bagi jentera pertanian serta peningkatan insentif pembajakan dan penuaian padi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial