DUNIA

Ringgit Dibuka Kebanyakannya Tinggi Berbanding Mata Wang Utama, Rendah Berbanding Dolar AS

13/04/2026 09:34 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Ringgit dibuka kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama hari ini tetapi rendah sedikit berbanding dolar AS berikutan ketidaktentuan luaran yang meningkat dan  permintaan yang lebih kukuh terhadap mata wang Amerika Syarikat (AS) itu.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan menurun kepada 3.9695/9960 berbanding dolar AS daripada 3.9625/9680 dicatatkan pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata prestasi ringgit dalam masa terdekat dijangka kekal berhati-hati susulan ketegangan geopolitik yang memuncak dan perubahan sentimen pasaran.

“Langkah mengelak risiko dalam kalangan peniaga adalah ketara berikutan rundingan antara AS dan Iran yang terhenti. Lazimnya, perkembangan sedemikian cenderung mendorong permintaan terhadap aset selamat seperti dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Katanya perubahan sentimen ini susulan risiko geopolitik yang meningkat termasuk laporan bahawa Presiden AS Donald Trump mempertimbangkan sekatan ke atas Selat Hormuz, langkah bertujuan memberi tekanan kepada ekonomi Iran melalui perdagangan minyak dan gas yang telah mendorong minyak mentah WTI dan Brent melepasi paras US$100 setong pagi ini.

Mohd Afzanizam berkata perkembangan itu turut mengukuhkan dolar AS, dengan Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.47 peratus kepada 99.115 mata.

“Oleh itu, pasaran dijangka dalam sentimen mengelak risiko hari ini. Ringgit diunjurkan menyusut berbanding dolar AS dan mungkin mencecah semula paras RM4.00,” katanya.

Dilaporkan bahawa Pemerintahan Pusat AS akan mula melaksanakan sekatan terhadap semua trafik maritim yang masuk dan keluar dari pelabuhan Iran pada 13 April pukul 10 pagi (Waktu Timur), yang akan dikuatkuasakan secara saksama terhadap kapal dari semua negara di seluruh pelabuhan dan kawasan pesisir Iran, termasuk yang berada di sepanjang Teluk Arab dan Teluk Oman.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding pound kepada 5.3167/3522 daripada 5.3248/3322, naik berbanding yen Jepun kepada 2.4858/5025 daripada 2.4882/4918 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6344/6653 daripada 4.6401/6465 pada Jumaat lepas.

Bagaimanapun, mata wang tempatan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1065/1275 daripada 3.1093/1139 dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.2587/3493 daripada 12.3289/3525 manakala menurun berbanding rupiah Indonesia kepada 232.0/233.7 daripada 231.6/232.0 dan rendah berbanding peso Filipina kepada 6.61/6.66 daripada 6.60/6.62 sebelum ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan