AM

Komuniti Tamil, Sikh Sambut Tahun Baharu Esok, Masyarakat Malayalee, Rabu

13/04/2026 10:25 AM

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Masyarakat Tamil dan Sikh akan menyambut Tahun Baharu Tamil dan Vaisakhi esok, manakala masyarakat Malayalee pula meraikan Vishu pada Rabu, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan serta nilai bersama dalam kepelbagaian masyarakat Malaysia.

Walaupun berakar daripada tradisi berbeza dan disambut pada hari berlainan, perayaan ini berkongsi nilai utama iaitu pembaharuan, kesyukuran dan kebersamaan apabila keluarga di seluruh negara berkumpul bagi menghayati adat resam yang diwarisi turun-temurun.

Sebelum ini, masyarakat Telugu turut menyambut Tahun Baharu mereka, Ugadi, pada 19 Mac lalu, sekali gus mencerminkan kepelbagaian sambutan budaya dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Malaysia Hindu Sangam (MHS) dalam ucapan sempena Tahun Baharu Tamil (Puthandu) menyifatkan sambutan itu bukan sekadar perubahan simbolik tahun, sebaliknya seruan kepada pembaharuan pemikiran, penyatuan matlamat dan keberanian dalam tindakan.

Presidennya, T. Ganesan berkata Tahun Baharu Tamil yang juga dikenali sebagai ‘Parabhava’ bermula pada 11.15 pagi berdasarkan Sri Gajalakshmi Panchangam, iaitu kalendar tradisional Hindu yang digunakan bagi menentukan waktu bertuah, sekali gus menandakan hari pertama bulan Tamil Chithirai.

“Tempoh waktu bertuah atau ‘Vishu Punya Kalam’ adalah antara 7.15 pagi hingga 3.15 petang, ketika penganut digalakkan melakukan sembahyang, amal kebajikan serta amalan bermakna lain,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Malayalee Seluruh Malaysia (AMMA) Dr Manohur Kurup berkata Vishu yang menandakan permulaan tahun kalendar Malayalam serta melambangkan pembaharuan dan kemakmuran akan disambut pada 15 April tahun ini.

“Ahli keluarga memulakan hari lebih awal dengan melihat Vishukkani, diikuti tradisi Vishukaineettam iaitu golongan tua memberikan hadiah wang kepada ahli keluarga lebih muda sebagai tanda restu selain berkunjung ke kuil,” katanya.

Dr Manohur berkata perhimpunan komuniti yang dianjurkan persatuan Malayalee di seluruh negara memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan budaya serta memastikan tradisi ini terus diwarisi generasi muda.

Mengenai sambutan Vaisakhi oleh komuniti Sikh, Presiden Sikh Naujawan Sabha Malaysia Paramjeet Singh Jai Singh berkata ia merupakan perayaan penting dalam sejarah Sikh dan disambut di seluruh negara dengan persiapan di kira-kira 130 gurdwara, merangkumi sembahyang, jamuan komuniti dan program khidmat masyarakat.

“Vaisakhi menandakan penubuhan Khalsa oleh Guru Gobind Singh pada 1699, melambangkan keberanian, kesaksamaan dan pengabdian, selain menyatukan masyarakat Sikh di bawah identiti rohani yang tersendiri,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Warisan India-Malaysia turut menyampaikan ucapan selamat kepada komuniti yang menyambut Tahun Baharu di seluruh Asia Selatan dan diaspora, dengan menyatakan bahawa sambutan ini walaupun berbeza tradisi, mencerminkan penghargaan bersama terhadap pembaharuan, perubahan musim dan keharmonian.

Pengerusi pengasasnya Prabhakaran Nair berkata sambutan itu menyerlahkan hubungan tamadun yang lebih mendalam serta mengingatkan nilai bersama yang menyatukan masyarakat merentas wilayah dan budaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan