DUNIA

Australia Belum Diminta Sertai Sekatan Trump Di Selat Hormuz - Albanese

13/04/2026 03:01 PM

ISTANBUL, 13 April (Bernama-Anadolu) -- Australia belum diminta untuk mengambil bahagian dalam sekatan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump terhadap pelabuhan Iran di Selat Hormuz, kata Perdana Menteri Anthony Albanese pada Isnin sambil menggesa Washington dan Tehran menyambung semula rundingan damai, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik media tempatan.

"Kami belum menerima permintaan dan mereka telah membuat pengumuman ini malam tadi...secara unilateral. Kami belum diminta untuk mengambil bahagian," Albanese memberitahu Channel Nine.

Baru-baru ini, Albanese menamakan ketua tentera laut Naib Laksamana Mark Hammond sebagai ketua Angkatan Pertahanan Australia yang baharu.

"Ini AS yang membuat keputusan. Apa yang kita mahu ialah rundingan diteruskan.

"Kita mahu lihat penamatan terhadap kehilangan nyawa dan kehilangan infrastruktur di Asia Barat. Kita mahu lihat perdagangan disambung semula. Ini memberi kesan ekonomi global yang besar, bukan sahaja di Australia. Setiap negara sedang terjejas," katanya.

Trump mengumumkan sekatan itu pada Ahad selepas rundingan antara AS dan Iran di ibu negara Pakistan, Islamabad berakhir tanpa kata putus.

Pakistan menjadi pengantara gencatan senjata AS-Iran selama dua minggu sebelum ini.

Perang Iran telah mengganggu penghantaran melalui Selat Hormuz, arteri utama untuk perdagangan minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) global, mengakibatkan kejutan tenaga yang teruk di seluruh dunia.

Dalam perkembangan berkaitan, Albanese mengumumkan beliau akan ke Brunei dan Malaysia dari 14-17 April untuk membincangkan mengenai tenaga dan keselamatan makanan.

Beliau akan bertemu Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, menurut pejabatnya dalam kenyataan.

Australia ialah salah satu pengeksport utama LNG di dunia namun bergantung pada Asia untuk sebahagian besar bahan api dan baja yang diperlukan untuk petani menghasilkan tanaman makanan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan