SHAH ALAM, 13 April (Bernama) -- Sebanyak 12 anggota polis dipercayai terlibat dalam kes samun mata wang kripto milik seorang warga asing direhatkan daripada tugas aktif, kata Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar.
Beliau berkata pihaknya kini sedang menunggu laporan teknikal daripada agensi-agensi berkaitan sebelum siasatan diteruskan ke peringkat seterusnya.
“Laporan teknikal masih diperlukan kerana melibatkan transaksi mata wang kripto. Justeru, kami menunggu laporan daripada agensi-agensi yang bersifat teknikal.
“Namun ia hampir selesai dan kami belum dapat merujuk kepada pihak pendakwaan negeri kerana masih menunggu laporan-laporan teknikal berkenaan,” katanya pada Sidang Media Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 12 anggota polis termasuk empat pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman ditahan kerana disyaki terbabit dalam rompakan berkumpulan membabitkan kerugian kira-kira RM200,000 dalam bentuk mata wang kripto daripada sekumpulan warga China.
Mereka yang ditahan masing-masing seorang berpangkat Asisten Superintendan, Inspektor, Sarjan, Koperal (enam) Lans Koperal (dua) dan seorang Konstabel berusia antara 24 hingga 47 tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial