JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Warga China Ditahan Terlibat Sindiket Tawaran Kerja Tidak Wujud

13/04/2026 10:16 PM

MELAKA, 13 April (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki warga China dipercayai terlibat sindiket tawaran kerja sambilan dalam talian tidak wujud yang beroperasi di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Puncak Bertam di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata kedua-dua lelaki berusia 28 dan 38 tahun yang berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan sindiket berkenaan ditahan dalam Ops Frontier + III Bil. 1/2026 pada 10.30 pagi tadi.

Beliau berkata operasi itu dilaksanakan Bahagian Risikan/Operasi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.

“Siasatan awal mendapati sindiket itu telah beroperasi sejak Februari lepas dengan menyasarkan warganegara China yang menetap di Amerika Syarikat sebagai mangsa.

“Rumah teres itu dijadikan pusat panggilan sindiket berkenaan dan modus operandi sindiket ialah menawarkan pekerjaan sambilan tidak wujud melalui aplikasi Telegram,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Christopher berkata polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti penipuan itu termasuk komputer riba, telefon bimbit dan peralatan rangkaian dengan anggaran nilai rampasan kira-kira RM30,000.

Beliau berkata polis akan mendapatkan permohonan reman ke atas kedua-dua suspek berkenaan pada esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan