DUNIA

Laluan Maritim Terus Beroperasi Di Selat Hormuz Walaupun AS Laksanakan Sekatan - Data

15/04/2026 08:44 AM

ISTANBUL, 14 April (Bernama-Anadolu) -- Kapal-kapal terus bergerak melalui Selat Hormuz ketika pasukan tentera laut Amerika Syarikat melaksanakan sekatan terhadap Iran di laluan perairan strategik itu, menurut data.

Sejak sekatan bermula pada 5.30 petang Isnin waktu tempatan di Iran (1400 GMT), sebanyak 14 kapal memasuki Teluk dan tujuh kapal keluar dari selat dalam tempoh itu.

Secara keseluruhan, 21 kapal melalui selat berkenaan manakala 13 kapal masih berada di kawasan itu setakat 1300 GMT pada Selasa, menurut statistik Anadolu Ajansi daripada sumber berkaitan.

Sehingga Selasa, kira-kira 2,000 kapal terkandas di bahagian Teluk dan kira-kira 400 kapal sedang menunggu untuk memasuki Teluk melalui Selat Hormuz.

Data daripada MarineTraffic menunjukkan kapal yang dikenakan sekatan oleh AS turut melalui selat itu.

Pasukan tentera laut AS dilaporkan mewujudkan sekatan di sepanjang garisan antara Teluk Gwadar  dan Ras al Hadd, di mana trafik kapal yang padat berterusan sejak operasi bermula.

TankerTrackers.com menyatakan beberapa kapal menyiarkan isyarat Sistem Pengenalan Automatik (AIS) palsu untuk menyembunyikan identiti mereka.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan