JOHOR BAHRU, 15 April (Bernama) -- Nasib malang menimpa sepasang suami isteri apabila perjalanan mereka ke tempat kerja di Singapura berakhir tragedi selepas motosikal dinaiki terlibat dalam kemalangan di KM 0.6 Lebuhraya Linkedua arah selatan menuju ke republik itu, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP M. Kumarasan berkata kejadian pada 2.40 petang itu dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki lelaki berusia 31 tahun bersama isterinya berusia 29 tahun hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah lori yang bergerak perlahan akibat kesesakan lalu lintas.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal yang juga lelaki warga tempatan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala.
“Isteri mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan kiri sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk mendapatkan rawatan, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat mangsa dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Kaunter Aduan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri di talian 07-5101322 bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial