SUKAN

PKBM Terima RM825,000, Perkasa Penganjuran Piala Dunia Berbasikal Trek 2026

15/04/2026 12:31 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menerima suntikan dana Geran Padanan Sukan (GPS) berjumlah RM825,000 bagi menyokong penganjuran pusingan terakhir Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 (TWC Kuala Lumpur 2026).

Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill berkata peruntukan itu bagi kegunaan kejohanan yang berlangsung di Velodrom Nasional Malaysia dari 24 hingga 26 April ini, sekali gus membuktikan keprihatinan dan sokongan berterusan kerajaan terhadap pembangunan sukan berbasikal.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta kepimpinan tertinggi kementerian atas bantuan yang diberikan.

“Secara peribadi, bagi pihak PKBM, saya sangat berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia khususnya KBS. Sumbangan dana GPS bernilai RM825,000 ini pasti meringankan beban PKBM

“Begitu juga saya sangat berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari dan KSU (Ketua Setiausaha KBS Datuk Rahimi Ismail) kerana telah membantu PKBM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amarjit yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menegaskan kelulusan tambahan tersebut amat signifikan dan mencerminkan kesungguhan serta komitmen tinggi kerajaan dalam memastikan Malaysia mampu menganjurkan kejohanan bertaraf dunia dengan jayanya.

“Keputusan kerajaan untuk menambah peruntukan ini membuktikan keyakinan mereka terhadap keupayaan Malaysia sebagai tuan rumah serta kepentingan kejohanan ini dalam mengangkat imej negara di persada antarabangsa,” katanya.

Sejumlah 46 negara telah mengesahkan penyertaan pada pusingan terakhir Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 setakat ini, sekali gus menjadikan ia kejohanan paling banyak menarik penyertaan

Amarjit yang juga Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) memaklumkan antara pelumba tersohor yang mengesahkan penyertaan ialah juara Sukan Olimpik lima kali, Harrie Lavreysen dari Belanda, Nicholas Paul (Trinidad & Tobago), Sebastien Vigier (Perancis), Luca Spiegel (Jerman) dan Danial Staniszewski (Poland).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan