SEPANG, 15 April (Bernama) -- Tabung Haji (TH) telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan konflik di Asia Barat, termasuk memberi keutamaan kepada jemaah haji Malaysia merangkumi aspek keselamatan, perlindungan insurans dan kelancaran operasi bagi musim haji 1447H/2026M.
Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air 1447H/2026M Mohd Norber Kassim berkata TH sentiasa memantau perkembangan semasa dan telah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan urusan ibadah haji berjalan lancar.
Beliau berkata TH mempunyai pelan bencana dan prosedur operasi standard (SOP) yang akan disesuaikan mengikut keadaan semasa.
“TH sememangnya telah pun bersiap sedia dengan pelan bencana yang mana sebelum ini pun sebelum krisis peperangan ini pun TH memang telah ada SOP, telah ada pelan bencana.
“Jadi pelan ini insya-Allah akan kita sesuaikan dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan yang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas sesi lawatan bersama media operasi bagi musim haji 1447H/2026M.
Beliau berkata TH turut mendapatkan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta berhubung dengan kerajaan Arab Saudi bagi mendapatkan perkembangan terkini konflik berkenaan.
“TH turut mendapat pengesahan daripada kerajaan Arab Saudi bahawa haji akan diteruskan sebagaimana biasa. Jadi, kita akan teruskan seperti dirancang untuk musim ini,” katanya.
Mohd Norber turut memberi jaminan bahawa kebajikan jemaah haji Malaysia, termasuk aspek perlindungan dan insurans, berada di bawah pengurusan TH.
“Insya-Allah semuanya di bawah pengurusan TH. Jemaah merupakan Jemaah Haji Malaysia dan diuruskan oleh TH. Insya-Allah kita akan melihat semua aspek ini,” katanya.
Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci dijadualkan bermula pada 18 April ini, manakala penerbangan terakhir pada 20 Mei.
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah haji Malaysia yang melibatkan syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines.
Selain daripada itu, lapan stesen berlepas akan digunakan untuk para jemaah haji di seluruh negara bagi urusan melapor diri, iaitu Kota Bharu di Kelantan, Kuala Terengganu (Terengganu), Alor Setar (Kedah), Bayan Lepas (Pulau Pinang), Senai (Johor), Kuching (Sarawak), Kota Kinabalu (Sabah) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial